Jumaat, 10 Ogos 2012

Apa Itu Cinta? -> Ramai yang tahu tentang cinta. Ramai yang tahu menyebut perkataan cinta. Ramai yang tahu bagaimana ingin meluahkan kata-kata cinta. Tetapi berapa ramaikah yang tahu apa itu cinta yang sebenarnya? Berdasarkan perkara ini saya ingin berkongsi beberapa pandangan umum terhadap Apa Itu Cinta.. Cinta Kudus -> Cinta itu kudus,mahal dan tinggi tarafnya. Sifat cinta itu sempurna. Jika tidak sempurna, maka cinta itu akan cacat. Seharusnya cinta kudus itu ialah cinta yang sempurna dan sebenar-benar cinta. Cinta Azali -> Rasa cinta sedia wujud di dalam jiwa manusia sejak manusia itu lahir ke dunia. Cuma manusia akan melalui tahap-tahap kelahiran cinta bermula dari cinta kepada ibu, membawa kepada cinta kepada kekasih dan akhirnya setelah puas mencari cinta suci, maka akan lahir cinta kepada Tuhan. Wujudnya cinta itu tidak dapat dilihat tetapi dapat dirasai dan cinta azali itu suci murni serta putih bersih. Cinta Bersedia (Adam & Hawa) -> Apabila sampai masanya pada setiap tahap-tahap cinta, maka Tuhan menjadikan manusia itu bersedia menerima cinta. Pada mulanya jiwa itu bersedia menerima cinta, lantas sedia pula untuk berkongsi rasa kewujudan dengan yang dikasihi. Sedia untuk mengikat setia serta saling memahami. Sedia untuk dipertanggungjawabkan kerana cinta. Sedia untuk menyerah diri pada yang dicintai. Cinta Itu Indah -> Walaupun kewujudan cinta tidak boleh dilihat, tetapi cinta itu indah dan cantik. Cantiknya itu tulen dan ia tidak bertopeng. Bukan saja ia cantik malah suci murni, bercahaya gemerlap dan putih bersih. Cinta Itu Mengharap Balasan -> Cinta antara manusia itu berkehendak kepada jodoh atau pasangan daripada diri yang punya persamaan, daripada diri yang asalnya satu. Bila dapat yang dicari, bermakna cinta itu menganggap telah bertemu yang paling sesuai dan serasi dengan jiwanya untuk bersatu kembali. Kehendak itu timbal balik sifatnya kerana manusia dalam bercinta tidak hanya memberi tapi juga menerima. Cinta Itu Menakluki -> Sifat cinta itu ingin menguasai. Dia mahu yang dikasihinya itu hanya khusus untuk dirinya. Dia tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Sifat ini menuntut hak untuk mencintai dan dicintai. Tapi, dalam pada ingin menakluki, ia juga ingin ditakluki sepenuhnya. Cinta Itu Mengetahui -> Pada asasnya cinta itu mengetahui. Orang yang bercinta tahu siapa yang patut dicintainya. Cinta tidak perlu bertanya. Manusia boleh jatuh cinta tanpa membaca bahan ilmiah atau novel tentang cinta. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Tetapi, cinta cuma tahu bercinta. Ia tidak tahu akan peraturan cinta jika tidak diberikan panduan. Cinta Itu Hidup -> Cinta adalah ibarat manusia, boleh berputik lalu mekar serta boleh layu dan gugur. Cinta itu punya deria dan perasaan. Cinta ada segala-galanya. Sayang, benci, cemburu, gembira, sedih, tenang, tertekan, ketawa dan menangis. Cinta itu hidup, sampai satu ketika ia akan menemui mati. Tetapi ramai orang berharap agar cinta itu kekal selagi dia masih hidup dan tetap hidup walaupun telah mati. Cinta Itu Suci -> sebagaimana yang banyak dikatakan orang, cinta itu suci. Sucinya cinta bukan bermakna ia tidak mengharap balasan. Cinta mengharap balasan cinta. Sucinya cinta bermakna ia tidak bernoda dan tidak pula berdosa. Itulah sifat asal cinta, ia suci bagaikan anak yang baru lahir. Mereka yang kenal erti cinta akan cuba mengekalkan cinta itu sesuci mungkin. Mengekalkan cinta suci bermakna menjauhkan ia daripada godaan nafsu yang tidak ada batasan. Cinta suci jadi bernoda dan berdosa kerana nafsu. Cinta Itu Mempesona -> Cinta itu bukan saja indah tetapi mempesonakan. Ia bukan kerana cinta itu nakal sifatnya tapi kerana ia suci dan bersih. Ia adalah sebagaimana anda melihat pada anak kecil yang comel dan bersih. Dia senyum pada anda dan merapati anda. Anda terpesona kerana bukan saja dia comel, tapi kerana dia adalah insan yang tidak berdosa. Selalunya manusia itu membuat kesilapan apabila bercinta kerana sifat cinta yang mempesona ini. Apa saja yang dilakukan oleh kekasihnya, mempesona dan nampak cantik serta betul walaupun itu adalah satu dosa dan akan menodai cinta itu sendiri. Itulah juga yang menyebabkan orang yang bercinta itu walaupun seorang yang bijaksana akan menjadi bodoh kerana pesona cinta. Akal itu mampu dikalahkan oleh nafsu. Nafsu itu tidak boleh dikalahkan melainkan jika anda sentiasa ingin kepada Tuhan Maha Pencipta. Apakah Itu Bukti Cinta? -> Cinta perlukan bukti. Ramai orang percaya bahawa bukti cinta itu ialah mengorbankan atau menyerahkan apa saja yang kekasih mereka mahu. Mereka percaya jika itu tidak berlaku, maka cinta itu tidak tinggi nilainya. Sebenarnya anggapan itu tidak tepat. Jika anda beri semua yang kekasih anda mahukan, apakah yang tinggal pada diri anda? Benarkah dia cinta pada anda sedangkan dalam masa yang sama dia mahukan pengorbanan anda? Cinta sejati tidak memusnahkan atau merosakkan diri kekasih yang dicintai. Malah ia menjaga agar kekasihnya tetap suci dan selamat sebagaimana sucinya cinta itu sendiri.