Khamis, 13 Jun 2013

Bila Cinta Terhenti


Aina melabuhkan punggungnya di atas kerusi kayu di ruang tamu, beg sandangnya diselongkar mencari sesuatu. Puan Hajar perlahan-lahan mendekati anak perempuan sulungnya itu, wajah masam mencuka dipamerkan.
"Aina! Ini surat daripada ayah kau," ujar Puan Hajar dengan nada suara yang tinggi.
Aina membuka sampul itu dan agak terkejut apabila melihat isinya berupa wang ringgit berkeping-keping di dalam sampul.
"Buat belanja Aina dan adik-adik, ayah sayang kamu semua," nota ringkas terselit bersama wang-wang itu.
Aina tersenyum manis, betapa dia merindui ayahnya. Ayahnya meninggalkan aina dan dua orang adiknya dua tahun yang lalu kerana memilih untuk berpisah dengan ibunya. Menurut ibunya, ayahnya bermain kayu tiga dengan perempuan lain. Namun, sayang Aina terhadap ayahnya tidak pernah pudar sampai bila-bila.
"Kalau kau nak ikut ayah kau, pergilah," marah Puan Hajar. Aina membuntangkan matanya, agak terkejut dengan jerkahan ibunya itu. Garang seperti ngauman singa kepadanya.
"Kau suka kan duduk rumah besar dengan ayah kau, dapat mak baru! Pergilah hidup dengan mereka.Mak tiri kau kan kaya! Nanti tidaklah menyusahkan aku sahaja! Sesekali susahkanlah ayah dan mak tiri kau," sindir Puan Hajar.
Aina tertunduk, hati Aina benar-benar pedih mendengar kata-kata ibu kandungnya itu. Adakah Aina penyebab penceraian mereka berdua? Aina faham tekanan yang dihadapi oleh ibunya, tetapi mengapa dilepaskan kepadanya. Pelbagai persoalan timbul di hatinya apabila ibunya sering memarahinya.
"Pergilah kemas barang-barang kau! Ayah dengan anak sama sahaja! Suka melupakan orang lain selepas dapat apa yang dimahukan! Ayah kau tu memang tak guna! Kau nak sangat kan jadi macam dia? Pergilah," marah Puan Hajar lagi. Aina menatap wajah ibunya, sanggup ibunya mahu menghalaunya.
"Kau..." Belum sempat Puan Hajar berbicara, Aina sudah pun berlalu pergi. Aina segera mengambil basikalnya dan mengayuh selaju mungkin. Air mata jernih mengalir laju, benarkah selama ini dia menjadi beban buat ibunya?
~~
~~
Aina menghentikan basikal di hadapan Sekolah Menengah Tengku Basirah, tempat Aina menuntut ilmu setiap hari.
"Nak pergi mana?" soal seorang pengawal berkaca mata.
"Nak ambil buku yang tertinggal," jawab Aina.
Pengawal itu membenarkan Aina masuk dan Aina sempat melemparkan senyuman hambar. Hampir basah tudung putihnya akibat linangan air mata. Seragam sekolahnya pula masih belum sempat ditukar.
Aina sebenarnya berbohong, dia mahu mencari ketenangan di sini. Tempat yang selama ini dia menyendiri ialah di bilik stor lama yang tidak lagi digunakan di hujung bangunan sekolah. Di situlah tempat dia menulis puisi-puisi luahan hatinya.
Hari ini dia agak bingung kerana buku itu tiada dengannya, mungkin dia tertinggal di bilik stor itu. Aina melangkah perlahan ke bilik stor, sunyi benar sekolah ini setelah tamat sesi persekolahan. Aina menolak perlahan daun pintu bilik stor itu dan terkejut melihat seorang lelaki lengkap berpakaian sekolah.
"Kamu siapa?" soal lelaki itu. Wajahnya dapat dilihat dengan jelas oleh Aina. Berkulit cerah dan sedikit berombak.
"Saya yang patut tanya kamu siapa? Ni tempat saya," ujar Aina sambil menjegilkan mata.
"Ni kan hak sekolah, bukan tempat awak seorang sahaja! Sesiapa pun boleh ke sini," ujar lelaki itu pula.
"Tapi..." belum sempat Aina berbicara, lelaki itu menunjukkan sebuah buku berkulit ungu kepada Aina. Aina tergumam, pantas dia merampas buku puisi-puisinya itu.
"Buku itu kepunyaan saya, berani kamu sentuh barang saya!" marah Aina.
Lelaki itu tertawa kecil, membuatkan Aina berasa muak dan semakin marah.
"Indah sungguh puisi kamu," puji lelaki itu sambil tersenyum manis. Aina terdiam, ditatap dalam-dalam wajah lelaki itu.
"Benarkah? Tiada sesiapa yang pernah memuji karya saya selama ini." keluh Aina.
"Kamu tulislah lagi, saya suka!" ujar lelaki itu sambil berlalu pergi meninggalkan Aina. Aina terdiam sambil berputar satu persatu soalan di hatinya. Siapakah lelaki itu?
~~
~~
Aina melabuhkan punggungnya di atas lantai beralaskan surat khabar. Meskipun bilik stor itu agak kotor dan berhabuk, ia mampu menghilangkan kesedihan Aina tatkala dia berduka. Aina suka tempat yang sunyi. Baginya hanya itulah masa paling berharga yang tidak diperolehinya di rumah, selain mendengar setiap keluhan dan bebelan ibunya. Lamunannya terhenti. Aina tersentak, tatkala pintu dikuak dari luar. Terkejut bukan kepalang gadis itu apabila lelaki yang dilihatnya dua hari lepas muncul kembali.
"Awak lagi!" keluh Aina, menutup perlahan bukunya. Lelaki itu tersenyum sambil mendekati Aina.
"Sesi persekolahan kan dah tamat, awak tak rasa ke masa awak terbuang jika hanya duduk terperap di sini?" soal lelaki itu.
"Masa saya akan lebih terbuang jika duduk di luar sana, di sini lebih aman dan..." ujar Aina. Belum sempat menghabiskan ayatnya, lelaki itu telah mencelah terlebih dahulu.
"Dan tersorok dari yang lain, sesuai untuk melahirkan rasa yang terbuku di dalam hati," sambung lelaki itu. Aina tersenyum apabila menyedari lelaki mengerti perasaannya.
"Awak siapa?"  tanya Aina.
"Saya Mukhlis, awak? Jawab Mukhlis lalu menyoal kembali tentang Aina.
"Aina Nadhirah, form 3. Boleh saya tahu awak dari kelas mana?" tanya Aina lagi.
"Saya pelajar tingkatan lima, kelas apa, biarlah rahsia," jawab Mukhlis. Aina tertawa kecil mendengarnya. Agak mencuit hati jenaka bersahaja lelaki itu.
"Boleh saya tahu, kenapa puisi-puisi awak ini dari awal hingga akhir semunya berkisarkan tentang hari-hari awak yang suram? Janganlah awak hanya meluahkan isi hati yang sedih. Kehidupan kita telah dicipta oleh Tuhan Yang Maha Esa dengan penuh keindahan. Apa kata, awak warnakan kehidupan awak dengan warna-warna pelangi," ujar Mukhlis panjang lebar sambil mengukirkan senyuman.
Aina terpaku sebentar, dia seolah-olah mendapat sedikit ilham dan ketenangan apabila berada di samping Mukhlis.
"Awak suka tulis puisi juga?" tanya Aina pada Mukhlis.
"Pernah suka, sekarang tidak lagi. Lebih suka menjadi pendengar," jawab Mukhlis. Aina merenung wajah Mukhlis, dia masih tidak dapat meneka siapakah lelaki itu yang sebenarnya.
~~
~~
Aina mengerling ke arah jam tangannya. Mukhlis biasanya akan sampai pada waktu begini. Aina tidak sabar menanti kehadiran Mukhlis. Usia perkenalan selama dua minggu itu membuatkan Aina berasa cukup selesa berkomunikasi dan berkongsi dengan lelaki itu. Aina tersenyum sendiri apabila terkenangkan Mukhlis. Mukhlis sering sahaja membuatkannya tertawa, bahkan lelaki itu telah berjaya menambat hatinya.
"Mukhlis!" suara hati Aina terus memanggil nama lelaki yang sering dia nantikan.
"Aina," panggil Mukhlis dari belakang. Aina tersenyum manis, wajah Mukhlis yang hadir membuatkannya tenang dan kembali bersemangat.
"Mukhlis lambat hari ni," keluh Aina memuncungkan mulutnya.
"Maaf," mohon Mukhlis memandang penuh simpati.
"Aina ada tulis puisi baru?" tanya Mukhlis. Aina pula hanya menggelengkan kepala.
"Tulislah," pinta Mukhlis.
Lantas Aina membuka perlahan bukunya, pensel digenggam erat, lembaran kosong itu mula terisi. Sambil dia menulis, Mukhlis memerhati raut wajah Aina. Aina, seorang gadis yang berkulit hitam manis, hidungnya mancung seperti artis bollywood. Matanya yang bersinar mampu mencairkan hati mana mana lelaki tatkala dia menjeling.
"Kau sungguh indah Aina, sama indah dengan puisi-puisi hasil karyamu," puji Mukhlis di dalam hatinya.
"Kenapa awak pandang saya?" soal Aina yang hairan melihat kelakuan Mukhlis. Mukhlis terkejut seraya ketawa kecil.
"Sebab awak cantiklah," jawab Mukhlis dengan jujur. Aina tersipu malu.
"Tidak, saya tidak secantik gadis di luar sana. Kulit saya tidak secerah awak, saya pun tidak pandai nak bergaya dan tidak mampu membeli barangan yang berjenama. Itu semua tidak mampu saya miliki," keluh Aina.
"Awak tidak perlu semua itu, awak sudah semulajadi cantik, Allah telah meminjamkan wajah yang sempurna untuk awak. Awak cantik di luar dan dalam. Sudah cukup indah di mata saya," ujar Mukhlis dari lubuk hatinya.
Aina terpaku dengan setiap tutur kata yang diucap oleh Mukhlis sambil merenung tepat ke wajah lelaki itu. Mereka berdua bertentangan mata, aliran deras menusuk jiwa.
~~
~~
Aina terburu-buru meninggalkan rumahnya, basikalnya dicapai.
"Aina nak ke mana tu?" tanya Puan Hajar.
"Nak ke sekolah," jawab Aina ringkas.
"Aina baru balik sekolah, seragam pun tidak sempat tukar. Makanlah dulu," pesan Puan Hajar kepada anak gadisnya itu.
"Tak mengapalah mak, Aina nak cepat ni. Ada kelas tambahan!" Aina memberi alasan. Puan Hajar memerhatikan Aina, pelik benar perangai anaknya itu sejak akhir-akhir ini.
~~
~~
"Boleh saya tahu kenapa awak sudah tidak menulis puisi lagi? Awak adalah sumber inspirasi saya sejak kita berkenalan, awak sepatutnya terus menulis agar kita sama-sama boleh berkongsi minat," tanya Aina. Mukhlis hanya tersenyum.
"Selama ini, saya hanya menulis puisi di saat saya gembira. Saya tidak pernah menulis di saat saya sedih atau kecewa. Saya belum mampu jadi seperti awak," jawab Mukhlis tenang.
Aina tertunduk, wajah Mukhlis dipandang sekilas.
"Bukankah kita berdua sering bahagia bersama. Bukankah saat kebahagiaan awak ketika saya ada di sisi?" tanya Aina dengan nada penuh berharap. Namun Mukhlis terdiam, wajah Aina ditatap dalam-dalam.
"Apa maksud awak?" tanya Mukhlis.
"Ambil ni," pinta Aina menghulur pantas kepada Mukhlis. Mukhlis mengambil kertas dari tangan Aina.

Matamu cahaya hidupku
Senyumanmu menjadi kebahagiaanku
Suaramu melodi hatiku
Dirimu pelengkap hidupku

Kau muncul saat dukaku
Mencuit hatiku dengan keikhlasanmu
Jantungku berdegup saat disampingmu
Mungkinkah aku mencintaimu

Mukhlis menutup perlahan lembaran luahan hati Aina, wajahnya ditundukkan. "Kita tidak mungkin bersatu," ujar Mukhlis dengan wajah penuh kesedihan lalu tertunduk kembali.
~~
~~
Aina mengesat air matanya yang turun membasahi pipi. Wajah Mukhlis terbayang di matanya. Sudah sebulan berlalu, namun hatinya perit saat cintanya ditolak. Aina tahu Mukhlis turut merasakan perasaan yang sama terhadapnya tetapi mengapa Mukhlis menolak cintanya mentah-mentah
Adakah kerana darjat atau sebarang perbezaan antara mereka? Mukhlis amat mengambil berat tentang dirinya. Adakah itu semua hanya Aina yang merasakannya?
"Aina," panggil rakannya Azuryn sambil termengah-mengah mengangkat sesuatu.
"Ya," sahut Aina lalu pantas mengesat air matanya.
"Boleh tolong saya angkat meja yang rosak ini ke stor hujung sana tak? Jika berdua lebih ringan dan cepat," pinta Azuryn yang merupakan rakan sekelas Aina.
Aina terdiam, sudah lebih sebulan dia tidak menjejakkan kakinya ke bilik stor itu lantaran hatinya yang sudah hancur akibat cintanya ditolak. Dia malu dengan diri sendiri setiap kali teringatkan Mukhlis.
"Aina! Please," pinta Azuryn lagi. Aina tidak mempunyai pilihan lain lalu hanya mengangguk perlahan. Mereka berdua perlahan-lahan mengangkat meja itu ke dalam bilik stor.
Aina tidak dapat menahan perasaannya apabila terkenangkan Mukhlis dalam stor itu. Setiap kenangannya bersama Mukhlis adalah kenangan yang terindah baginya. Dia tidak mampu melupakan Mukhlis. Aina terkesima saat terpandang buku coretan hatinya di atas sebuah meja usang. Perlahan-lahan Aina membuka buku itu dan agak terkejut melihat satu puisi baru yang bukan hasil tulisannya. Terketar-ketar bibirnya membaca setiap bait kata dalam puisi tersebut.

Ya tuhan,
Andai esok dia akan menjadi milikku
Akan ku tatap wajahnya
tanpa jemu
Akan ku dengar suaranya
seperti keasyikan lagu
Akan ku belai rambutnya
selembut yang ku mampu
Akan ku berpuisi untuknya
meluahkan rasa cintaku
Akan ku genggam erat tangannya
agar sentiasa di sisiku
Akan ku sebut namanya
agar kekal di hatiku
Akan ku ukir namanya
di lautan biru
Akan ku lakar wajahnya
di kedinginan salju
Akan ku warnakan dunianya
dengan warna pelangi itu.

Ya tuhan,
Andai esok dia akan menjadi milikku
Namun ku tahu
Aku tidak mampu menolak takdirmu
Bahawa esok dan selamanya dia tidak akan menjadi milikku
Kerana kini aku sudah menjadi milik-Mu.

Aina mengesat air matanya lalu buku itu ditutup perlahan-lahan. Aina masih terbayangkan wajah sayu Mukhlis. Masih segar di ingatannya akan setiap kata-kata Mukhlis bahawa Mukhlis hanya akan menulis puisi yang menceriakan hidupnya tetapi kerana dirinya, Mukhlis sanggup membuang prinsipnya.
Ternyata puisi yang ditulis oleh Mukhlis benar-benar menyentuh hatinya. Aina amat merinduinya. Di manakah Mukhlis sekarang?
"Aina, kau ok ke?" tanya Azuryn hairan dengan tingkah laku sahabatnya itu.
"Aku ok,"
"Aku nak tanya kau sikit. Kau kenal Mukhlis?" soal Aina yang masih bingung tentang siapa Mukhlis yang sebenarnya. Gadis itu ligat berfikir.
"Maksud kau abang Mukhlis? Dia kan abang kepada Zahra, kawan kita yang duduk kelas sebelah tu. Abang dia dah meninggal dunia lima bulan yang lalu.
Abang Mukhlis terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengerikan kerana bertembung dengan sebuah kereta. Zahra pun masih trauma. Kenapa kau tanya, kau tak tahu ke?" panjang lebar penerangan azuryn yang kehairanan mengapa sahabatnya itu bertanyakan tentang Mukhlis yang telah lama meninggal dunia.
Aina terkejut lalu terduduk dengan wajah yang terkedu.
"Kita berdua tidak mungkin akan bersatu," kata-kata Mukhlis masih terngiang- ngiang di telinganya. Mengapa selama ini dia tidak perasan kehadiran Mukhlis bukan sebagai manusia tetapi sebaliknya? Mungkinkah dia dikaburi oleh rasa cinta?
"Mukhlis, mengapa kau hadir setelah kau tahu kau tidak akan menjadi milikku untuk esok dan selamanya?" ujar Aina perlahan-lahan sambil ditemani angin yang bertiup lembut diselangi air mata Aina yang mengalir, betapa hatinya sayu di saat ini..

Rabu, 12 Jun 2013

Kata - Kata Pujangga CINTA

"Kehidupan ini dipenuhi dengan seribu macam kemanisan tetapi untuk mencapainya perlu seribu macam pengorbanan" ~Pujangga CINTA~
"Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat" -Khalifah Abdul Malik bin Marwan
"Kalaulah anda tidak mampu untuk menggembirakan orang lain, janganlah pula anda menambah dukanya." ~Pujangga CINTA~
"Manusia tak akan tahu semua perkara, justeru tahu banyak perkara lebih baik dari tidak suka mengambil tahu walaupun satu perkara." ~Pujangga CINTA~
"Sekali anda terjatuh, jangan jatuh untuk berkali-kali" ~Pujangga CINTA~
"Hari ini bila ia datang, jangan biarkan ia berlalu pergi. Esok kalau ia masih bertandang, jangan harap ia akan datang kembali." ~Pujangga CINTA~
"Nikmat itu kadang-kadang tidak disedari, hanya apabila ia telah hilang barulah manusia benar-benar terasa." ~Pujangga CINTA~
"Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, tetapi tidak semua perpisahan akan menjanjikan akan adanya pertemuan semula sesudah perpisahan itu." ~Pujangga CINTA~
"Jangan biarkan perahu hanyut tak ber'penghuni' nanti hanyutnya tidak singgah ke pelabuhan.'' ~Pujangga CINTA~
"Jangan abaikan permintaan orang, kalau tidak mahu permintaan anda diabaikan orang." ~Pujangga CINTA~
"Hidup biarlah berbakti, walaupun tidak dipuji. ~Pujangga CINTA~
"Hari ini adalah realiti impian kelmarin, impian hari ini adalah reliti besok hari..." ~Pujangga CINTA~
"Hidup ini ibarat meniti seutas tali, kadang kala kita jatuh sakit dan terluka, dan itulah yang kita rasai saat ini." ~Pujangga CINTA~
"Hanya mereka yang melepasi ujian akan melalui kehidupan dengan sabar." ~Pujangga CINTA~
"Kadangkala menyembunyikan sesuatu perkara dari pengetahuan orang lain lebih baik dari jika diberitahu pun tidak dihiraukan." ~Pujangga CINTA~
"Sekalipun tidak pernah menjadi kaya-raya, kita masih beruntung tidak juga papa kedana" ~Pujangga Cinta~
"Setiap kali tersadung, ingatlah kita tidak mahu terjatuh lagi." ~Pujangga CINTA~
"Jangan sesekali menyalahkan kesilapan diri sendiri kepada orang lain kerana orang yang tidak mengakui kelemahan diri sukar untuk berjaya." ~Pujangga CINTA~
"Kita mesti pastikan hari ini adalah milik kita kerana kita belum pasti adakah hari esok kita masih diberi peluang." ~Pujangga CINTA~
" Jangan impikan sesuatu tanpa berusaha mencapainya." ~Pujangga CINTA~
"Kalau tidak kerana semalam kita telah berusaha, bersungguh, bersabar dan berdoa, belum tentu hari ini kita akan berada di sini." ~Pujangga CINTA~
" Pemimpin yang berjaya ialah orang yang boleh mengawal komunikasi dengan orang yang lebih atas daripadanya dan boleh mengawal komunikasi dengan orang yang lebih bawah daripadanya." ~Pujangga CINTA~
"Kita patut berkorban supaya orang lain juga merasai kemanisan hidup." ~Pujangga CINTA~
"Kekuatan itu tidak terbina di atas bilangan yang ramai, tetapi kekuatan itu terbina di atas keyakinan dan optimis seseorang dan keserasian berkumpulan." ~Pujangga CINTA~
"Berfikir sejenak, merenung masa lalu adalah permulaan yang baik untuk bertindak." ~Pujangga CINTA~
"Rahsia untuk berjaya ialah menghormati orang lain." ~Pujangga CINTA~
"Saya percaya; esok sudah tidak boleh mengubah apa yang berlaku hari ini, tetapi hari ini masih boleh mengubah apa yang akan terjadi pada hari esok." ~Pujangga CINTA~
"Yang telah berlalu biarkan ia berlalu, yang mendatang hadapi dengan cemerlang." ~Pujangga CINTA~
" Berbuat baik jangan sekali, buatlah berkali-kali." ~Pujangga CINTA~
"Kasihkan manusia lepaskan dia kepada pilihan dan keputusannya kerana di situ tanda kita gembira melihat insan yang kita sayangi beroleh bahagia." ~Pujangga CINTA~
"Kawan ketawa mudah dicari, kawan menangis keseorangan diri." ~Pujangga CINTA~
"Jangan sesekali menggadai prinsip, demi untuk mendapat dunia yang mengiurkan." ~Pujangga CINTA~
"Biarpun jalan itu panjang, kita akan merintisnya perlahan-lahan." ~Pujangga CINTA~
"Hidup ini adalah warna-warni yang terlakar pada kanvas, walaupun tidak cantik ia tetap mempunyai sejuta maksud." ~Pujangga CINTA~
"Sesuatu khayalan kadang-kadang menjadi realiti." ~Pujangga CINTA~
"Tidak ada manusia yang hidup untuk gagal, tetapi tidak merancang adalah merancang untuk gagal." ~Pujangga CINTA~
"Manusia tidak perlu dihukum kerana lupa, tetapi manusia perlu dihukum kerana sengaja lupa." ~Pujangga CINTA~
"Andai hidup punca perpisahan, biarlah mati menyambungnya semula. Namun seandainya mati punca perpisahan, biarlah hidup ini membawa erti yang nyata." ~Pujangga CINTA~
"Saya sayang awak, sukarkah untuk dilafazkan?" ~Pujangga CINTA~
"Mereka mendahulukan akhirat ke atas dunia, mencintai kematian di dalam ketaatan, dan melebihkannya dari kehidupan pada kemaksiatan. Jika berkuasa mereka menghukum dengan adil, mereka memerintah dengan anjuran Islam, mereka zuhud, mereka berbuat baik, maka merekalah orang-orang yang beruntung! Kitakah mereka itu?" ~Pujangga CINTA~
"Jika dunia ini persinggahan, mengapa tidak kita banyakkan bekalan untuk meneruskan perjalanan? Kerana kita cuma ada satu persinggahan." ~Pujangga CINTA~
"Kekayaan boleh mengaburkan jalan yang jujur" ~Pujangga CINTA~
"Tidak akan ada kemakmuran tanpa kasih sayang, Hanya mereka yang beriman sahaja tahu akan erti kasih sayang." & "Masihkah ada dendam yang bersisa tika tangan bersentuhan mesra." ~Pujangga CINTA~
"Sebuah kebenaran kadangkala mengandungi kesilapan." ~Pujangga CINTA~

Ya Allah..

Ya Allah,
Kau bimbinglah dia ke jalan yg diredhaiMu
Kau ikhlaskan segala perjalanannya
Kau limpahkan rezekiMu padanya
Kau berikanlah kesihatan yg baik untuk dia
Kau jagalah dia dengan baik kerana aku tak dapat menjaganya lagi
Kau lindungi dia dari sebarang malapetaka
Kau permudahkan segala liku-liku hidupnya
Kau kuatkan hatinya kau tabahkan hatinya
dan aku halalkan segala pemberian pahit getir yang kami kecapi.
Seandainya,
Kau sudah tetapkan kami berjodoh pada akhirnya
dan ini merupakan salah satu dugaan dalam perhubungan kami
aku redha Ya Allah
sesungguhnya dia wanita yg sangat baik
aku tetap sayang padanya sampai akhir nyawa
tetapi,
jika kau tetapkan dia bukan milikku lagi
semoga pilihannya lebih baik dariku
aku bermohon padaMu Ya Allah
terima kasih untuk pertemuan dan saat-saat indah yang kami lalui.