Isnin, 10 Januari 2011

Trofi [Full Version]

Hidup tanpa ilmu memang payah. Lebih-lebih lagi pada masa sekarang. Setakat SPM, nak dapat kerja baik, jangan haraplah! Lagi parah jika bermastautin di Kuala Lumpur ini. Bandar raya yang semakin hari semakin kecil, sempit dengan persaingan yang datang bukan sahaja daripada luar bandar malah luar negara. Kehidupan sehari-hari bagai pertempuran. Sesiapa yang lemah tak mungkin akan kekal. Bagi yang menang pula, pertempuran hari esok masih menanti.
Farizal membersihkan beberapa contoh piala yang dijadikan pameran dikedai menjual peralatan seni itu. Bagai seorang pakar, pekerjaan itu tidak mengambil masa yang lama buat dirinya. Setelah itu dia kembali semula ke kaunter menunggu pelanggan.
Dari atas pelantar kaunter, dia memerhati hasil kerjanya yang sedari pagi tadi mengemas kedai tersebut. Sama seperti hari-hari sebelumnya, Farizal berpuas hati. Jam menunjukkan jam 10.30 pagi. Masih awal untuk kedai itu dikunjungi ramai pelanggan. Selalunya Arts Faundation hanya akan sibuk pada waktu puncak iaitu antara 1.00 hingga 5.00 petang.
Lokasinya strategik di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, terletak di kawasan China Town, Petaling Street yang menjadi tumpuan pelancong dan juga pelajar-pelajar sekolah yang kebanyakannya menghadiri kelas tuisyen di pusat-pusat tuisyen sekitar, ditambah dengan Feng Shui yang bagus, pemilik kedai ini sememangnya mengaut keuntungan yang lumayan. Sudah enam bulan dia bekerja di situ dan ini adalah pencapaian terbaik Farizal selepas berpuluh kali tewas dalam pertempuran hidup di Kuala Lumpur.
Farizal mengelamun jauh. Walau dia menyukai pekerjaannya sekarang, mana mungkin dia akan bekerja disini untuk selama-lamanya.
Macam mana aku nak jadi kaya macam Tauke Wong tu? Kepalanya ligat berfikir. Pamplet Pusat Tuisyen Kasturi pemberian Alya yang ada diatas kaunter itu dibelek. Boleh lagi ke otak berkarat aku ni belajar?
Lepas sahaja habis SPM tiga tahun lepas, dia berdegil untuk bekerja. Hendak cari duit sendiri, kononnya. Tentangan keluarga yang mahu dia sambung belajar langsung tak dihiraukan. Malah dengan bangga dia meninggalkan rumah untuk duduk menyewa dengan rakan-rakan.
Pada mulanya memang seronok, hidup bebas tanpa pengawasan orang tua. Tetapi apabila tiba tengah bulan mulalah seksa, menahan lapar kerana poket sudah kering. Dekat setahun juga kehidupan Farizal terumbang-ambing, bertukar kerja tak terkira, sudah itu hampir pula terlibat dengan dadah dek kerana pengaruh rakan-rakan serumah. Mujur ada abang Haiqal, abang sulung Farizal yang cepat-cepat menariknya daripada terus hanyut. Berkat kesungguhannya untuk berubah, kehidupannya bertambah baik dari sehari ke sehari.
"Termenung jauh nampak." Alya tiba-tiba muncul.
"Alya! Terkejut abang. Awal datang hari ni!" Farizal tersenyum pada gadis pujaannya itu.
"Awal? Dah pukul 12.00 lah! Jom pergi makan." Alya mengajak manja.
"Kelas pukul berapa?" Farizal bertanya sambil mengemas pamplet yang dibeleknya tadi. Dia meninjau-ninjau sekitar kedai itu mencari Amir, rakan sekerjanya.
"Pukul 12.30. Alah sempat lagi, kita pergi makan dekat CM, okey." Alya memujuk.
Memang sengaja dia datang awal hari ni, niatnya nak pergi makan dengan si buah hati, Farizal sambil memujuknya untuk mengambil kursus yang ditawarkan Pusat Tuisyen Kasturi selepas dia SPM nanti. Sudah rezekinya, ayah tidak dapat menghantarnya ke pusat tuisyen hari ni. Maka semakin panjanglah kaki Alya melangkah.
"Amir, kau gantikan aku sejam, aku rehat dulu, boleh?" Farizal sedikit melaung memanggil Amir yang sibuk mengira stok berus lukisan di sudut belakang kedai itu.
"Okey! No problem." Amir menunjukkan ibu jari kanannya tanda setuju.
"Jom! Farizal menghulurkan tangannya, disambut mesra oleh Alya dan mereka beriringan keluar daripada Arts Faundation.
Gelak tawa mereka mengiringi perbualan mereka, melepas rindu masing-masing. Maklumlah hubungan mereka tidak diketahui keluarga Alya. Maka agak sukar untuk bertemu selalu. Pertemuan mereka enam bulan lalu, sewaktu Alya menunjukkan jalan kepada Farizal yang tersesat untuk interview kerja di Arts Faundation membuahkan bibit-bibit cinta.
"Alya, kau masuk dalam kereta cepat!" Sebuah waja putih berhenti mengejut di sebelah pasangan itu. Pemandunya membunyikan hon beberapa kali.
"Ayah!" Alya gugup, ketakutan melihat ayahnya yang lengkap berpakaian seragam polis. Disebelahnya seorang lagi anggota polis, rakan setugas ayahnya, Pakcik Ghazali.
"Aku kata masuk!" Sekali lagi suara itu menjerit.
Alya akur, masuk kedalam kereta peronda itu sambil merenung Farizal yang masih lagi terkejut.
Farizal memandang kereta itu meluncur pergi sehingga menghilang disebalik kesesakan jalan raya.

"Aku pergi hantar kau tuisyen bukan untuk kau menggatal cari jantan! Kau ingat umur kau tu berapa tahun, pandai-pandai nak bercinta. Baru setahun jagung! Kalau dah gatal sangat nak kahwin, tunggu lepas kau habis SPM akhir tahun ni aku nikahkan! Aminuddin menyinga.
Saban waktu dia mengutuk anak-anak muda zaman sekarang yang berkepit-kepit lelaki perempuan sewaktu keluar menjalankan rondaan sekitar bandar raya. Tidak tersangka pula hari ni dia terhantuk batang hidung sendiri, anak sendiri yang buat perkara tu.
"Mana aku nak letak muka aku dengan si Ghazali tu. Buat malu je!"
"Kami kawan saja, ayah. Bukannya buat benda tak senonoh." Alya menjawab cuba pertahankan diri.
Disuatu sudut, Hamidah, ibu Alya hanya memerhati. Tidak termampu untuk buat apa-apa. Sememangnya suaminya tidak boleh dihalang ketika marah masih membara.
"Kau menjawab, menjawab!" Aminuddin menampar pipi anaknya itu membuatkan Alya terjelepok.
"Kau ingat aku buta! Berpegang-pegang tangan, terkekeh-kekeh gelak, senonoh sangat ke? Lepas ni kau jangan pergi tuisyen lagi. Kau pergi sekolah aku hantar, balik sekolah aku ambil. SPM nanti kalau kau tak pas aku kahwinkan saja dengan sesiapa. Kau buatlah perangai lagi Alya! Aku akan buat apa yang aku cakap ni." Aminuddin mengugut lantas dia bingkas meninggalkan rumah mencari cara untuk meredakan kemarahannya.
Alya dibiar bercucuran air mata. Hamidah mendekati anak gadisnya itu.
"Mak!" Alya memeluk ibunya.
Tamparan Aminuddin sebentar tadi jelas di pipi Alya, memerah menutupi gebu putih kulitnya. Namun kesakitan tamparan itu tidak seberapa kalau nak dibandingkan kesakitan hatinya tatkala ini.
"Kau dah tahu ayah kau pantang dengan perkara macam nie, yang kau buat tue, kenapa?" Hamidah bersuara tegas.
"Abang Farizal tue baik mak! Alya sayang dia." Alya merintih terkenangkan Farizal. Bagaimanakah perasaannya ketika ini.
"Kau jangan Alya! Ayah kau tu pegang pada janji. Kalau kau tak dapat masuk Universiti lepas ni, kau nak ke kahwin dengan sesiapa yang ayah kau cakap tue? Sudahlah dia kecewa dengan kakak kau dulu, malas belajar! Kau nak jadi macam kakak kau ke?" Hamidah sedikit membentak.
Dia jelas dengan sifat suaminya. Sebenarnya Aminuddin cemburu dengan kejayaan anak rakan-rakannya yang lain, masing-masing dapat masuk menara gading. Semasa along dulu, keputusan SPMnya terus. Elok saja ada orang masuk meminang, terus dikahwinkan. Dia tidak mahu angah; Alya, mendapat nasib yang sama. Bukan mudah untuk hidup berkeluarga dalam usia yang terlalu muda.
"Tapi Alya sayangkan abang Farizal, Alya sayangkan abang Farizal." Alya terus-terusan merengek.

Abang Farizal,

Alya tidak tahu macam mana nak mulakan. Ayah marah sangat tentang hubungan kita. Alya tak boleh pergi tuisyen lagi. Alya dah tak boleh jumpa abang Farizal lagi. Ayah ugut untuk kahwinkan Alya lepas SPM nanti. Alya tak mahu! Apa yang patut Alya buat, abang? Alya bingung, Alya rindukan abang! Tolong Alya...

- Alya -

Farizal membaca berulang kali cebisan kertas pesanan Alya yang dikirim melalui Melissa, rakan sekelas Alya. Melissa diam di depan pemuda yang telah menambat hati kawannya itu, memerhatikan Farizal mengelamun jauh memikirkan sesuatu.
Aku tak punya apa? Cuma pekerjaan yang mampu menyara hidup aku seorang sahaja. Apa yang patut abang buat, Alya! Semua nie diluar kekuasaan abang.
Farizal pasrah...
"Alya tak habis-habis menangis, Abang Rizal. Abang nak Mel sampaikan apa-apa buat dia?" Melissa akhirnya bersuara setelah melihat Farizal mendiamkan diri tanpa kesudahannya.
"Mel, lepas SPM nanti, korang nak buat apa? Farizal memecah kebuntuan Melissa.
"Tak tahu lagi, Mel ingat nak kerja sambilan." Melissa laju menjawab.
"Tak, maksud abang korang akan sambung belajar lagi ke?" Farizal inginkan kepastian.
Minggu lepas sewaktu perjumpaan dia dengan Alya, gadis itu beria-ia mengajaknya mengambil kursus yang ditawarkan oleh Pusat Tuisyen Kasturi bagi pelajar lepasan SPM. Pada mulanya dia tidak tahu apa yang tersirat di fikiran Alya tetapi kemusykilannya kini mengenai niat gadis itu memuncak.
"Oh... Mestilah bang!" Jawab Melissa bersungguh.
"Mel nak masuk mana?" Farizal terusan bertanya.
"Kalau boleh Mel nak masuk matrik, kalau tak dapat ambil diploma kot! Kenapa abang tanya?" Melissa musykil.
"Alya ada beritahu Mel, dia nak buat apa lepas SPM?" Farizal bertanya lagi.
"Alya kata dia nak ambil kursus komputer je lepas tu nak minta jadi kerani. Dia tak nak masuk mana-mana sebab takut berjauhan dengan abang. Dia sayang sangat dengan abang tau!" Melissa tersenyum terkenang obsesi Alya dengan teman lelakinya.
Ah! Aku pun apa kurangnya. Mujur ada Faiq. Kalau bukan kerana si Faiq tu budak SAS (Sekolah Alam Shah) mungkin dia tidak seserius sekarang dalam pelajaran. Aku nak masuk Universitu dengan Faiq, Melissa berkhayalkan teman lelakinya.
Farizal terkesima mendengar kata-kata Melissa. Tak sangka sehingga begitu serius Alya memikirkan hubungan mereka berdua. Sudahnya apabila situasi begini terjadi, tidak mungkin dia mahu korbankan masa depan Alya.
"Alya pandai tak Mel?" Satu lagi soalan Farizal.
"She's among straight A's masa PMR dulu. Sekarang bolehlah! Selalunya dia dapat top 10 tapi masa pertengahan sem lepas dia dapat nombor 15." Melissa jujur. Dia masih tidak tahu sebab apa soalan-soalan itu diajukan oleh Farizal.
Farizal membuat keputusannya.
"Mel boleh tolong abang? Mel kawan baik Alya kan?" Farizal serius.
Melissa sekadar mengangguk.
"Tolong abang buat Alya benci pada abang! Buat Alya lupakan abang!" Farizal merenung gadis di depannya, bersungguh dengan apa yang baru dilafazkannya sebentar tadi.
"Ha! Apa?" Melissa terkejut.
"Please Mel! Tolong abang!" Farizal tekad.

"Selamat pengantin baru, Puan Faiq!" Alya menepuk bahu Melissa yang sedang di solek mak andam.
"Hish kau nie Alya, karang tak pasal-pasal aku tak dapat naik pelamin sebab kena heart attack. Melissa tergelak, seronok melihat kedatangan kawannya itu. Tugas mak andam yang sedang menyoleknya terbantut.
"Eh, Jangan. Karang mengamuk si Faiq dekat aku. Tak sangka jadi juga kamu berdua. Boleh tahan juga cinta monyet kau dengan Faiq. Apa rahsia?" Alya berseloroh, terhibur melihat Melissa yang berseri-seri. Almaklumlah Raja Sehari.
"Mana boleh beritahu. Nama pun rahsia! Kau bila lagi Alya? Tak jumpa lagi ke Prince Charming kau?" Giliran Melissa pula mengusik Alya.
"Tak ada jodoh lagi! Prince Charming aku merajuk kot?" Kedua-dua mereka tergelak.
Entah mengapa percintaannya selepas Farizal selalu menemui jalan buntu. Dalam hati kecil Alya bagai mengimpikan Farizal muncul semula dalam hidupnya. Walau sudah tujuh tahun berlalu, mungkin kerana Farizal cinta pertamanya, bukan mudah untuk dia melupakan pemuda itu. Tetapi mungkinkah aku memaafkan dia? Dia telah membuatkan hati aku hancur! Yang menganggap aku bohsia murahan yang senang dipermainkan. Yang menghina ayah aku dengan macam-macam gelaran. Yang buat aku bercucuran air mata memendam rasa.
Kalau dia muncul semula sekarang ni, pasti akan aku hamburkan semula kata-katanya. Biar dia tahu siapa Dr. Nur Alya sebenarnya, seorang graduan perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Sedangkan dia siapa? Hanya seorang kuli kedai alat seni lukis! Dengan kaki je aku boleh kuis. Alya berdendam.
"Apa dah jadi dengan Fikri?" Melissa bertanya.
"Aku dah buang dalam tong sampah. Loghat sangatlah! Jangan risau! Lama lagi aku nak kahwin, Mel. Aku nak tunggu kau dapat anak dulu. Eh! Biar aku keluar dulu ye, karang tak siap-siap kau bermekap. Nanti bersanding senyum lebar-lebar tau!" Alya bingkas ingin mengundur diri.
"Eh, kejap-kejap Alya. Aku nak bagi kau sesuatu!" Melissa mencapat tas tangannya. Daripada beg biru muda itu dikeluarkan satu resit kecil. Resit itu dihulurkan kepada Alya. Alya melihat resit itu kemudian berpaling kepada Melissa.
"Apa ni?" Tanya Alya pendek.
"Ada secret admire bagi. Nanti kau pergi kat kedai tu, tunjuk saja resit ni. Nanti kau tahulah." Melissa berteka-teki dengan Alya.
"Kau biar betul Mel." Alya kehairanan.
"Betul, kau jangan tak pergi pula. Pergi tau!" Melissa bersungguh.
"Ada-ada saja kau ni." Alya menyimpan resit itu di dalam tas tangannya. Tangannya sudah bersedia memulas tombol pintu.
"Eh, Kau pergi tau." Melissa sedikit menjerit apabila Alya sudah pun melangkahkan kaki keluar daripada bilik pengantin.
"Hoi, apa pengantin menjerit tu!" Karim, ayah Melissa menegur anaknya.
Semua yang ada di ruang tamu yang menempatkan pelamin pengantin tergelak. Alya malu sambil tersengih. Dia meminta laluan untuk keluar ke kawasan tetamu makan. Dia mengenakan sepatunya, kasut setinggi tiga inci itu sendeng sedikit ke kanan menyebabkan Alya tidak stabil...
"Opss!" Alya hampir terjatuh. Tangannya automatik memaut seseorang. Orang itu membantunya berdiri semula. Wajah Alya merah, malu! Dia mengangkat wajahnya ingin mengucap terima kasih pada orang yang telah menyelamatkannya. Namun lidahnya kelu. Abang Farizal!
"Awak tak apa-apa ke?" Pemuda itu menyoal lembut. Riaknya bersahaja, tersenyum manis.
"Tak, saya okey. Terima kasih ye! Err... Saya Alya, kawan Mel. Alya memperkenalkan diri. Dia ingin mengetahui tentang lelaki itu. Mungkin sudah bertahun-tahun tapi...
Pemuda itu mengenakan baju batik biru pekat, berambut panjang yang diikat kemas, berkumis nipis dan berperwatakan matang, berlainan dengan Farizal tujuh tahun dahulu. Tapi senyuman itu...
"Saya Adznan!" Ringkas jawapan pemuda itu. Senyumannya dilontar lagi.
Alya masih belum puas hati lagi.
"Kawan Melissa atau kawan Faiq? Alya menyoal lagi.
Lelaki itu sekadar tersenyum. Senyuman misteri yang tak dapat dibongkar oleh Alya.
Apa betul lelaki ini abang Farizal? Ah! Tak mungkin. Adznan beredar begitu sahaja membuatkan Alya kebingungan.
Bunyi kompang bertalu menandakan kedatangan pihak lelaki. Tetapi bukan Faiq yang dicari Alya tapi Adznan yang telah menghilang dalam kabut manusia di sekelilingnya. Perkahwinan rakannya membuatkan hati Alya tidak tenang.

"No 29, Abstrak..." Pandangan Alya beralih daripada resit ditangannya kepada papan nama bagi premis di hadapannya. Setelah agak pasti dia melangkahkan kaki ke dalam premis tersebut.
Alya disambut dengan suasana yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Abstrak nyata sekali bukan sebuah galeri biasa seperti galeri-galeri yang selalu dikunjunginya. Seunik namanya, Abstrak membuatkan Alya terkesima. Siapan jubinnya berkilat menampakkan refleksi pemijaknya serta ukiran plaster siling yang cantik bertemakan alam.
Gabungan hitam putih yang diilhamkan daripada simbol yin dan yang itu membentuk bulatan yang membahagikan ruang utamanya kepada dua. Hitam menempatkan koleksi buku, cakera hitam, cd-cd, video dan pelbagai lagi. Menariknya bahan-bahan tersebut disusun pada rak-rak unik yang tak terlafaz definisi bentuknya, abstrak sekali!
Alya beralih pula pada Putih, ruang itu menempatkan koleksi lukisan yang menarik, memukau pandangan mata yang menyantap setiap karya itu. Terdapat juga pecahan-pecahan rak disana sini yang disusun diatasnya barangan-barangan lukisan untuk dijual. Walau agak monotone, tetapi ruangan itu terserlah ceria dengan dekorasi dan bahan pameran yang memberi warna tersendiri pada galeri ini.
Alya menyusuri bahagian tengah yang menjadi pembahagi antara hitam dan putih. Dia tersenyum sendiri, terhibur melalui laluan itu yang melengkung seiring lengkungan yang ada pada yin dan yang. Matanya tidak henti-henti melihat pada lantai yang dipijaknya, memastikan setiap langkahnya memijak imej-imej helaian bunga ros yang merentang sepanjang laluan itu. Kilauan imej itu menjadikan ianya kelihatan seperti tiga dimensi. Dihati kecil Alya, dia kagum dengan pemilik galeri ini.
"Boleh saya bantu cik?" Sapaan seorang pemuda berbaju hitam putih bercorak abstrak lengkap dengan topi hitam bertekat putih tulisan Abstrak diatasnya mematikan gerak kaki Alya. Pipinya sedikit kemerahan, malu dengan gelagatnya sendiri. Resit ditangan diserahkan kepada pemuda itu.
"Cik boleh ikut saya." Dihias senyuman, pemuda itu mengiringi Alya ke ruang belakang galeri. Di hujung ruangan yin dan yang itu merupakan sebuah cafe kecil dan juga ruang bacaan.
"Cik tunggu disini sebentar ya! Ada apa-apa yang cik mahu? Minuman?" Pemuda itu mempelawanya duduk pada sebuah seti yang ada di ruangan cafe.
"Coffee please! Thank you." Alya melabuhkan punggungnya sambil melihat kelibat pekerja premis itu yang hilang memasuki ruang lain di belakang kaunter cafe itu. Alya leka kembali, memerhati galeri itu. Tatkala itu baru dia sedar bahawa hanya dirinya pelanggan yang ada di situ.
Pelik! Belum waktu puncak agaknya! Fikirnya membuat kesimpulan.
"Apa khabar Alya?" Satu suara menegur gadis itu.
Alya bingkas menoleh ke belakang untuk melihat orang yang menegur. Dia membisu tergamam melihat pemilik suara itu.
Adznan Farizal menghulurkan tangannya namun terbiar tidak disambut oleh Alya. Senyuman terlirik di bibir pemuda itu. Rambutnya yang lurus melepasi bahu diselak dan disekat pada cuping telinga menampakkan jelas wajah kacaknya. Ditambah manis dengan kumis nipis dan janggut pendek, penampilan Farizal nyata tidak seperti tujuh tahun lepas. Dia kini Adznan Farizal Mansur, pemilik galeri Abstrak.
"Jemput duduk." Farizal mengambil tempatnya pada kerusi jati yang bersetentang dengan Alya.
Gadis itu masih membisu namun akur. Matanya dibuang jauh daripada menghadap lelaki yang ada di depannya.
"Alya tak kenal abang lagi?" Farizal memberanikan diri menyoal.
Alya menghembuskan nafas panjang. Mencari kekuatan untuk bersemuka dengan cinta pertamanya.
"Kalau awak adalah orang yang telah melukakan hati saya tujuh tahun dahulu, ya! Saya memang kenal sangat dengan orang tu. Orang yang memanggil saya bohsia, yang menghina ayah saya, yang membuatkan saya berlinang air mata, yang hampir meragut masa depan saya..."
"Yang mencintai awak sepenuhnya..." Farizal menyampuk amarah Alya.
Alya memandang tepat ke mata Farizal, terkejut dengan kata-kata itu. Senyuman yang dia rindu sejak tujuh tahun lalu dilemparkan kepadanya.
"Sungguh mudah untuk awak melafazkan cinta Encik Farizal! Semudah awak melepaskannya. Terima kasih!" Alya mengangkat punggung. Dia tidak perlu bersemuka dengan lelaki ini. Dia tidak mahu.
"Alya!" Farizal menaikkan suaranya membuatkan langkah Alya yang seterusnya terhenti.
"Awak rasa jika tujuh tahun dahulu kita masih bersama! Siapa awak sekarang Alya! Adakah awak akan bergelar Dr. Nur Alya Aminuddin? Atau sekadar kerani? Jika tujuh tahun dahulu kita masih bersama, adakah awak pasti yang kita akan bahagia? Setelah awak kecewakan ibu dan ayah awak?
"Jika tujuh tahun dahulu kita masih bersama! Adakah awak pasti yang awak takkan menyesal mencintai seorang kuli kedai lukisan? Jika benar tujuh tahun dahulu apa yang kita rasai adalah cinta, terfikirkah awak orang yang awak cintai itu akan berkorban demi awak sepertimana awak sanggup korbankan masa depan, pelajaran, mak ayah demi nak bersama dengan dia?" Farizal menghabiskan katanya, langtang melepaskan segala yang terbuku di hati.
Tiada bicara balas daripada Alya. Reaksinya hanya sekadar genangan air mata yang menanti masa untuk jatuh. Hakikatnya Alya tidak dapat menerima kehadiran Farizal semula ke dalam hidupnya tatkala ini. Semua kenangan pahir dahulu menerpa jiwanya satu-persatu membuatkan perasaannya sarat dilanda sedih, marah, bengang, geram... rindu... Kakinya diangkat ingin meneruskan niatnya sebentar tadi.
"Alya please! You need to listen!" Suara yang amat dikenali Alya menerpa ke cupingnya. Lantas dia menoleh.
"Mel!" Alya kehairanan. Dia teringat akan resit yang diberikan Melissa kepadanya. Melissa terlibat dalam sandiwara ini?
"Aku tahu Alya, kau keliru sekarang! Tapi kau perlu beri peluang pada abang Farizal. Beri peluang untuk diri kau sendiri! Jika tujuh tahun lalu aku meniup api amarah kau pada abang Farizal atas dasar penipuan, beri peluang untuk aku memadamkan api itu atas dasar kebenaran. Tolong Alya!" Melissa merayu. Dia berdiri penuh mengharap di sebelah Farizal, disisinya setia menyokong adalah Faiq, suaminya.
Alya tersenyum sini, geli hati dengan drama di depannya. Tubuhnya dipusing, kaki dihayun ke pintu keluar melalui ruangan pembahagi hitam dan putih yang dilaluinya tadi. Telinganya menangkap bunyi tapak kaki yang membuntutinya. Alya tidak mengendahkan. Realitinya saat ini dia tidak perlukan apa-apa penjelasan daripada mereka.
Tiba-tiba langkahnya terhenti, terpesona melihat sesuatu. Sesuatu itu adalah imej yang suatu masa dahulu merupakan memori terindah yang pernah dialaminya. Potret gadis riang ketawa menampakkan barisan gigi putih menerima sebuah trofi daripada seorang jejaka yang tersenyum manis, melutut dihadapan buah hatinya.
"Alya tahu tak hari ni hari apa?" Farizal menduga. Senyuman manisnya terukir melihat kerut wajah Alya.
Suasana medan selera CM yang hiruk pikuk dengan manusia itu menjadi latar pertemuan mereka. Sama seperti pertemuan-pertemuan mereka sebelum ini, tiada apa-apa yang istimewa kecuali sebuah beg kertas yang menemani Farizal.
"Hari apa? Abang Farizal punya birthday ye!" Alya membuat andaiannya, membalas senyuman jejaka didepannya.
"Bukaannn... tapi pada hari ini, lima bulan lepas..." Farizal berhenti sebentar melihat jam di tangannya.
"Tepattt... waktu sekarang ni, kita berdua berlanggar dekat depan pusat tuisyen Alya tu. Lepas tu Alya tunjukkan abang Arts Faundation, ingat?" Farizal menunjal lembut kepala Alya.
"Ooo, kiranya ulang tahun. Eh bukan! Ulang lima bulan kita bertemulah ye! Lima bulan pun dikira ke?"Alya manja.
"Lima bulan lama tau! Apa Alya nak bagi abang?" Farizal menghulurkan tangannya.
"Mana Alya ada beli hadiah. Tak tahu pun hari ni abang nak celebrate." Alya menepuk tangan Farizal, menepis ke tepi.
"Abang ada hadiah untuk Alya tau! Nak tak?" Farizal mencapai beg plastik yang sedari tadi diletak di tempat duduk di sebelahnya.
"Mestilah nak! Mana! Mana!" Giliran Alya menghulur tangan, teruja.
Farizal tersenyum lagi. trofi setinggi empat inci dikeluarkan daripada beg kertas lalu ditunjukkan kepada Aly.
"Trofi! Eee... Tak romantiklah abang ni. Mentang-mentang kerja dekat Arts Faundation." Alya buat muka.
"Ye ke tak romantik! Ini hadiah paling romantik yang abang dapat cari tau." Farizal menyapu-nyapu permukaan trofi di tangannya itu, cuba mengilatkannya.
Pandangannya dialih kepada Alya yang monyok. Dia beralih. melutut di depan gadis itu. Tidak mengendahkan mata-mata yang tertumpu kepadanya.
"Eh abang Farizal! Apa ni! Bangunlah! Malulah dekat orang ramai." Alya cemas.
"Tahniah! Kerana memenangi anugerah carta teratas di hati saya." Farizal menghulurkan trofi itu kepada Alya.
Alya mengambil trofi yang dihulur Farizal, membalas senyuman dengan ketawa kecil. Mulutnya ditutup. Cuba menahan deraian tawa yang lebih besar.
"Anugerah apa yang abang cakap tadi?" Alya masih lagi tertawa, hatinya terhibur dengan gelagat Farizal.
"Anugerah carta teratas hati abang! Rasanya tak akan ada orang yang dapat rampas title itu tau! Alya dah memenangi hati abang!" Kata-kata farizal bertukar nada, dia serius, merenung tepat ke mata Alya.
"Masih tiada siapa boleh menggantikan pemilik anugerah itu Alya!" Farizal bersuara apabila melihat Alya tergamam melihat lukisan yang mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.
Lukisan yang penuh menutupi bahagian dinding disebelah kanan pintu masuk galeri itu merupakan luahan memori paling berharga yang pernah dimilikinya dahulu. Segalanya teliti, riak wajah ceria Alya, kurung putih, kain Turqouise seragam sekolah yang dikenakan Alya, suasana medan selera CM, senyumnya buat gadis itu, berbaju dan berseluar hitam seragam Arts Faundation, berambut pendek dan berperwatakan bersahaja, segalanya dipotretkan tepat berdasarkan kenangan terindah itu.
Air mata yang sedari tadi ditahan Alya daripada tumpah berjuraian juga. Dia berpaling, emosinya tak keruan dihenyak perasaan bercampur baur.
"Kenapa? Kenapa sekarang? Alya dah banyak kali dipermainkan, abang tahu tak! Adam, Saiful, Fikri dan yang paling Alya kesal... Abang! Lelaki-lelaki yang tidak sepatutnya hadir dalam hidup Alya! Sehingga Alya rasa cinta bukan untuk Alya! Pintu hati ini dah tertutup rapat, bermula sejak tujuh tahun lalu. Pintunya tidak akan teranjak, terkuak lagi untuk dikecewakan buat sekian kalinya. Dan sekarang! Apa abang ingat semua ini akan dapat mengubah pendirian Alya?" Alya lantang, meluahkan emosi yang selama ini dipendam.
"Tidak Alya! Abang tahu semua ini tak mungkin dapat mengubah pendirianmu. Apa nilai Abstrak ini? Yang abang bangunkan dari pancaran semangatmu yang kau berikan dari jauh. Semangat buat melawan kata-kata halus dalam diri ini yang mengatakan abang tidak layak buat kau tujuh tahun lalu. Apa nilai potret itu? Sekadar membuang masa tiga tahun berserta titik peluh bagi merealitikan kembali saat paling manis dalam hidup abang. Apa nilai semua ini jika hendak dibandingkan dengan pedih, kecewa, amarah yang kau rasai selama ini!" Farizal menutur kata-katanya, juga beremosi.
Langkah diatur mendekati gadis yang kaku dimuka pintu galeri itu berjuraian air matanya. Farizal berhenti tepat di depan Alya. Dari kocek seluarnya, dikeluarkan sebuah replika trofi yang bersaiz lebih kurang empat inci tinggi dan dua inci lebar. Tapak trofi itu agak tebal, kotak bersaiz segi empat sama. Ukiran replika itu merupakan statue gadis manis yang bertudung mirip si Alya.
"Apa yang abang harapkan..." Farizal melutut, mendongak memandang gadis yang tidak henti-henti dicintainya selama ini.
"Ini dapat mengubah pendirianmu Alya! Sudikah pemenang anugerah carta teratas hati ini menjadi permaisuri dalam hidup abang? Buat selama-lamanya..." Farizal membuka tapak trofi itu, menyerlahkan sebentuk cincin permata bermata satu yang berkilau.
Alya tergamam, terkejut dengan aksi Farizal didepannya. Dia memandang sekeliling, Melissa dan Faiq tersenyum memandang penuh harapan agar "Happy Ending". Di belakang mereka pula tiga orang pekerja Abstrak terhendap-hendap dibelakang rak-rak ruangan putih, tidak mahu ketinggalan dengan drama yang dipertontonkan di depan mereka. Manakala di luar, deretan manusia memenuhi pintu kaca galeri itu, tertarik dengan situasi didalam galeri berkenaan.
Alya memandang tepat wajah Farizal, mengesat air matanya, cemas. Apa yang harus aku lakukan? Ya Allah! Berikan aku petunjuk-Mu. Alya bermonolog sendiri didalam dirinya.
Alya menggeleng, tangannya diangkat lalu hinggap di pipi kiri Farizal. Tangan Farizal yang memegang kotak cincin replika trofi itu terjatuh, seperti hatinya yang berderai. Wajahnya tertunduk memandang lantai, ada titisan air mata dilereng matanya. Kenapa Alya! Hatinya berlagu sedih diiringi bunyi dentingan cincin platinum yang jatuh, berputar dan akhirnya terdampar di dada lantai.
"Itu untuk kekecewaan Alya tujuh tahun dahulu. Dan ini... untuk kebahagiaan yang abang janjikan pada masa hadapan..." Jari telunjuk Alya menarik dagu Farizal supaya mata mereka bertentang. Kemudian jari manisnya ditunjuk minta disarung cincin. Dari cebisan sedih diwajahnya, terukir senyuman khas untuk Farizal.
Senyuman manis Farizal mencahayai wajahnya yang sedari tadi kerut sejuta harapan. Jari manis gadis didepannya itu disarung cincin emas putih yang jatuh tadi. Jari itu kemudiannya dicium, seiring kemudian sorak para penonton yang mengelilingi mereka.
Farizal bingkas, pinggang Alya dirangkul berserta titisan air mata kegembiraan. Bak situasi ulang lima bulan perkenalan mereka tujuh tahun dahulu.
"Jangan kecewakan Alya lagi abang Farizal! Tolong jangan kecewakan Alya lagi!" Renungan Alya tepat, mengalir dari mata bundar itu titisan air mata mengiringi mutiara Farizal.
"Tujuh tahun lepas... Abang akan pastikan tidak akan sama dengan tahun-tahun mendatang Alya. Abang berjanji! Terima kasih kerana menjadi trofi paling berharga yang pernah abang menangi. I Love You! I Love You So Much Alya"

Isnin, 3 Januari 2011

Izinkan Kupergi [Full Version]

Suasana didalam rumah kayu jati dua tingkat itu sungguh riuh-rendah. Sanak saudara yang dekat mahupun jauh turut sama datang untuk membantu membantu Aliesya menyempurnakan persiapan majlis perkahwinannnya. Walaupun lebih kurang tiga bulan lagi detik bersejarah itu akan berlangsung, ibu dan ayahnya begitu beria-ia untuk melaksanakan persiapan sesempurna untuk anak bongsu mereka. Namun wajah Nur Farra Aliesya langsung tak bersemangat. Bukannya tak bersyukur, tetapi... hmm...
Maisara memandang wajah adik perempuan kesayangannya lantas memaut lembut tangan Aliesya dan memimpin adiknya kedalam bilik. Menyepikan diri seketika daripada keriuahan suasana. Masuk saja ke bilik, Aliesya terus duduk di sofa. Dia menantikan perkataan yang bakal terucap dari bibir kakaknya.
"Aliesya?" Tegur Maisara bila melihat adiknya kembali mengelamun.
"Kak, tolong Aliesya. Aliesya taknak kahwin kak. Aliesya rindukan Mikail."
Maisara terkejut bukan kepalang.
"Mikail? Siapa tue? Akak tak pernah dengar pun nama dia?" Soal Maisara kebingungan. Dia betul-betul pelik. Sangkanya, adiknya ini akan melangsungkan perkahwinan bersama jejaka yang dicintainya.
"Mikail is the one that i love so much. Dia cinta pertama Aliesya. He's a part of my soul, kak. Tapi, ibu dan ayah tak merestui cinta kami. Ibu dan ayah halau Mikail masa Aliesya nak perkenalkan pada mereka, Aliesya terkilan."
Maisara mengurut dada. Sepanjang menghabiskan pengajian di luar negara, dia langsung tak diberitahu mengenai hubungan cinta yang dijalinkan oleh Aliesya dan Mikail. Yang dia tahu, ibu dan ayah begitu berkenan dengan seorang pemuda bernama Ariff. Dan mereka menyatakan bahawa perkahwinan yang bakal dilangsungkan ini juga adalah atas dasar cinta.
"So, thats mean you dont ever know about Ariff before this?"
Aliesya mengangguk laju. Air matanya hampir menitis.
"Aliesya hanya tahu pasal Mikail Solihin Bin Uthman. Tapi sekarang Aliesya tak dapat jumpa Mikail lagi." Aliesya mula teresak-esak.
Maisara memeluk adiknya. Dia memahami apa yang dirasakan oleh adiknya.


Mikail memandang sepi telefon bimbitnya. Tiada kedengaran lagi bunyi ceria seperti selalu. Dia tahu, hanya tinggal beberapa purnama sahaja lagi Aliesya bakal menjadi seorang isteri. Isteri kepada seorang lelaki yang langsung tidak dikenali mahupun dicintai oleh gadis itu.
Begitu payah untuk Mikail merelakan pemergian gadis itu kepangkuan lelaki lain. Amat sukar bagi dia menghadapi perpisahan ini. Bertahun menyulam cinta, membina tembok percaya tetapi kini segalanya musnah sekelip mata. Tiada sepicing pun keindahan cinta dalam dakapan jiwanya. Yang tinggal hanyalah debu-debu mimpi yang berderaian. Dalam menungan, tiba-tiba kedengaran telefon bimbitnya menyanyi. Mikail terpana.
Aliesya telefon!! Harus diangkat ataupun tidak? Dia mengeluh sendiri.

Kali pertama dia membiarkan panggilan dari gadis tersebut berlalu sepi. Sangkanya, Aliesya berhenti memanggil, namun ternyata dia silap jangkaan. Gadis itu terus juga menghubunginya berulangkali.
"Helo Mikail" Suara serak gadis itu memilukan hatinya. Mikail cuba sedaya-upaya mengawal inotasi.
"Ya,Aliesya."
Sepi dihujung talian. Mikail menahan sebak di dada. Aliesya terlebih dahulu menitiskan air mata. murah benar manik jernih itu menyapa pipinya. Amat payah hendak mentafsirkan rasa hatinya kala ini. Pilu teramat sangat apabila suara Mikail menyentuh pendengarannya setelah hampir dua bulan tidak bertemu.
"Kenapa lambat angkat? Lama saya tunggu awak." Esakannya pecah jua. Tak terdaya lagi menahan empangan air mata. Aliesya terduduk di lantai.
Mikail mengetap bibir. Masih melawan air mata dari menyentuh pipi.
"Dalam bilik air tadi. Tak dengar bunyi handphone. Ada apa awak called saya malam-malam macam nie?"
Nadanya berubah tegas. Mikail tak mahu menggoyahkan pendirian gadis yang paling dicintainya. Dia amat mengeti betapa tingginya nilai cinta ibu bapa terhadap anak-anak. Meski segunung permata dilonggokkan tetap takkan dapat menyamai kasih ibu bapa.
Aliesya sungguh bertuah. Sebab itulah dia akur sahaja terhadap penentangan ibu dan ayah Aliesya terhadap cinta mereka. Dia tidak mahu mengguris hati orang tua, juga takkan sekali-kali mengajar Aliesya mengingkari kehendak ibu bapa. Perkahwinan sungguh mulia dan Aliesya melakukannya atas kehendak ibu dan ayahnya. Mikail redha meskipun bukan dirinya menjadi pilihan.
"Mikail, saya terlalu rindukan awak. Saya sedih sangat. Saya teringin nak jumpa awak. Kalau boleh sekarang jugak."
Mikail tersentak mendengar permintaan Aliesya. Hatinya sudah nekad. Dia takkan sekali-kali menuruti permintaan Aliesya.
"Awak jangan buat lawak boleh? Cik Nur Farra Aliesya, awak boleh berfikir seperti orang dewasa yang matang kan? Jadi awak kenanglah pengorbanan ibu bapa awak membesarkan awak. Keperitan ibu awak berjuang melahirkan awak. Takkan semata-mata sebab orang macam saya ni awak nak buang mereka? Tak adil, Aliesya. Mereka dah membesarkan awak, dah tentu mereka mengharapkan segala yang terbaik buat awak. Awak tak terfikir ke? Mana tahu kalau saya kahwin dengan awak semata-mata nakkan harta keluarga awak? Awak boleh jamin ke saya nie terlalu baik? Awak tak fikir ke kemungkinan saya akan tinggalkan awak lepas kahwin?" Tukas Mikail sesungguh hati.
Hanya Tuhan saja yang tahu perasaannya bila perlu berbicara demikian dan dia amat pasti tentunya Aliesya amat terluka dengan kata-katanya.
"Cukup Mikail!! Awak nak suruh saya sangsi pada awak setelah segala kebaikan awak tunjukkan pada saya? Awak nak saya ragu terhadap cinta awak sedangkan awak bermati-matian mempertahankan perasaan tersebut sepanjang kita bersama? Awak tak pandai berlakon, Mikail. Tak pandai." Suara manja Aliesya tenggelam dalam esak tangisnya.
Mikail tak terdaya lagi menahan air mata. Sesungguhnya dia bukan pelakon terbaik.
"Maafkan saya. Aliesya. Saya tengah keraskan hati saya sekarang ni. Saya taknak awak hampakan harapan ibu bapa awak. Tak elok musnahkan kepercayaan mereka terhadap awak. Mereka terlalu berjasa terhadap awak berbanding saya. Merekalah yang membawa awak mengenal dunia. Apa yang ada pada saya, Aliesya? Saya tiada harta, tak kenal siapa ibu dan ayah saya. Saya cuma ada pelajaran untuk membela hidup saya dan mengubah masa depan saya kelak. Tak berbaloi awak pertaruhkan hidup awak untuk saya."
Mikail memutuskan talian. Aliesya terkedu. Tetapi Nur Farra Aliesya tetap percaya bahawa Mikail Solihin ditakdirkan untuknya.
Mikail menanggalkan bateri dan mencabut SIM cardnya. Dia mahu tenteramkan hati yang tak keruan. Menenangkan minda yang bercelaru.
Nur Farra Aliesya.
Mikail tak tahu bilakah nama itu akan terpadam dari memenuhi hamparan kalbunya! Wajah manis yang sedap dipandang mata dengan ketinggian sederhana. Gadis itu anggun dengan kerundung di kepala.

Mikail berpusing ke kiri dan kanan menukar posisi tidurnya. Dia susah hendak melelapkan mata. Kepalanya terasa sakit sementelah badannya berpeluh-peluh. Kawan sebiliknya, Ikhwan terbangun bila menyedari katil bergegar. Dalam mamai, dia memetik suis lampu. Ikhwan melompat turun dari katil atas. Dia menggerakkan badan Mikail yang masih berguling ke kiri dan kanan.
"Mikail, kenapa nie?"
Pertanyaan Ikhwan dijawab dengan kerutan wajahnya. Wajah kulit kuning langsatnya tampak begitu pucat.
"Tunggu kejap. Aku ambil panadol."
Seketika kemudian, Ikhwan kedapur dan mengambil dua biji panadol bersama segelas air masak. Dia merangkul bahu Mikail dan memberikan ubat kepada sahabatnya itu.
"Terima kasih, Ikhwan. Kepala aku sakit sangat. Macam nak demam pun ada.
Ikhwan mengangguk faham. Dia bimbang dengan tahap kesihatan Mikail yang kurang berselera makan sejak putus cinta. Dia mengerti bahawa payah luka parah dihati Mikail akan sembuh. Hanya masa jadi penentu.
"Kau rehat elok-elok. Kalau tak larat esok ambillah mc." Cadang Ikhwan.
Mikail menggelengkan lemah.
"Sikit je ni, lagipun dah final year. Aku taknak tertinggal subjek." Balasnya sebelum memejamkan mata.
Mikail mengambil keputusan untuk menghadiri kuliah juga meskipun badannya terasa hangat. Dia terpaksa memakai baju panas memandangkan kulitnya begitu sensitif. Bila bayu menyentuh lembut kulitnya, dia terasa begitu dingin.
Kepalanya masih berat. Namun dia gagahkan jua demi menuntut ilmu. Sehinggalah tiba gilirannya untuk mengambil markah kuiz. Mikail merasakan badannya ringan semacam. Pandangannya berpinar. Jejaka tinggi lampai ini cuba untuk berpaut pada kerusi, namun dia lemah lutut. Mikail hilang keseimbangan lalu pitam.
Dalam separuh sedar, Mikail dapat merasakan suatu objek halus runcing ditusuk kedalam kulitnya. Dia ingin menepis namun tangannya lemah untuk diangkat.
"Itulah kau degil. Aku suruh berehat, kau taknak. Demam tu dah melarat. Nasib baik tumbang depan kami, kalau kat tengah jalan macam mana?" Bebel Ikhwan tanpa dapat ditahan lagi.
Mikail cuma tersenyum lemah.
"Kau jangan bimbanglah, Ikhwan. Aku demam sekejap je. Nanti baiklah. Doktor pun dah bagi kebenaran untuk aku keluar wad." Mikail tertunduk. Tiba-tiba dia terbayangkan betapa bimbangnya Aliesya setiap kali dirinya jatuh sakit. Wajah gadis itu cukup untuk menenangkannya.
"Hanya Tuhan yang tahu betapa aku rindukan dia." Ujar Mikail didalam hati.
Mikail tak puas-puas menatap bingkai gambar bermotifkan lambang hati itu. Tersisip elok potret mereka berdua. Wajah manja Aliesya disamping dirinya yang sedang bergelak ketawa membuatkan kerinduannya terhadap gadis itu semakin kuat mencengkam.
Betapa indahnya detik tersebut untuk dilupakan. Mikail pasti, selagi nyawa dikandung badan selagi itulah kasihnya tak pernah surut. Ibarat lautan yang tak pernah kering. Mikail menghela nafas panjang. Dia termangu seketika.
Entah wajar ataupun tidak tindakannya kali ini? Namun dia nekad. Biarlah malam yang gelap dengan langit yang kosong tanpa sebutir bintang ini bakal menjadi saksi segalanya.
Dia menanti dengan penuh sabar. Mikail tak putus-putus berdoa agar taliannya bersambut.
"Assalamualaikum." Mikail memberi salam sesopan mungkin.
"Waalaikumsalam, Mikail. Ya Allah! Hanya Tuhan saja yang tahu betapa saya rindukan awak. Rindu sangat. Awak sihat? Dah makan?
Aliesya menuturkan soalan bertalu-talu. Andai dapat ditatap wajah Mikail, pasti dia dapat melihat garis-garis duka pada seraut wajah tenang itu. Pipi jejaka itu mungkin berubah cengkung. Sungguh! Dia terlalu rindu untuk menatap senyuman Mikail, apalagi mendengar gelak ketawa insan yang terlalu dikasihi itu.
"Aliesya, saya belum makan, sekejap lagi saya makan. Saya minta maaf kalau selama nie saya banyak sakitkan hati awak. Saya terlalu sayangkan awak. Saya harap persahabatan kita kekal sehingga ke akhir hayat. Bila kahwin nanti, awak dah ada tanggungjawab. Awak tak boleh fikirkan pasal saya lagi, jangan terlalu mengingati saya, pentingkan suami awak dalam setiap perkara yang awak lakukan. Sebagai isteri solehah, jadikan suami awak sebagai keutamaan.
Aliesya teresak-esak di hujung talian. Mikail turut tersedu-sedu. Air matanya mengalir laju.
"Saya tak boleh lupakan awak. Saya mesti teringatkan pasal awak. Awak terlalu indah untuk saya lupakan. Awak tahukan kasih sayang saya tiada dua atau tiga. Hanya awak dalam hati saya."
"Sudahlah sayang, izinkan saya pergi. Terimalah hakikat, kasih ini bukan milik kita. Cinta Aliesya tak tertulis buat Mikail."
Buat kesekian kalinya, Mikail mematikan talian. Dia terjelepok di sisi katil tanpa dapat menahan air mata membasahi pipi. Tinggal dua bulan lagi Aliesya bakal melangsungkan perkahwinannya. Meskipun tempoh itu kedengaran singkat, Mikail sendiri tak tahu setakat mana ketabahannya untuk terus menongkah ombak gundah ini. Dia perlu meninggalkan Aliesya lebih awal sebelum Aliesya mengubah pendirian. Dia tak mahu Aliesya berbelah bahagi untuk menjadi isteri kepada Ariff. Dia tak mahu...


Bagai nak terbuntang biji mata Aliesya memandang nombor yang terpapar di skrin telefon bimbitnya. Dia menyelitkan telefon bimbit dibawah sofa namun tetap tak henti-henti berbunyi. Memekakkan telinga je.
"Helo! Awak nak apa ha?" Soal Aliesya kasar. Lelaki ini memang sengaja mematikan moodnya.
"Cik adik, yang awak garang sangat ni kenapa? Awak kan tunang saya. Ada ke perempuan layan tunang mereka macam nie?" Ujar Ariff lembut. Cuba berdiplomasi.
"Masa bila pulak saya disahkan menjadi tunang awak ni? Dalam mimpi pun tak pernah tau." Balas Aliesya bersahaja.
"Apa-apa jelah, Aliesya. Esok saya nak jumpa awak? Pukul 10.00 pagi. Mesti datang, tunggu saya depan pagar rumah awak." Ariff bersuara tegas. Sengaja mahu memancing reaksi Aliesya.
"Awak tak reti bahasa ke? Saya tak kuasa nak jumpa awaklah!" Bentak Aliesya. Dia mematikan talian.
Sejak kebelakangan ini anginnya ternyata kurang baik. Lantaklah, sudah beberapa kali Ariff ingin menemuinya. Dia menolak mentah-mentah.
Ariff termangu memandang telefon bimbitnya. Kenapalah bakal isterinya ini sering naik angin. Apa agaknya kesilapan yang telah dia lakukan? Dia menggeleng seketika kemudian tergelak kecil. Hari esok tak mungkin Aliesya ada apa-apa alasan lagi. Makcik dan pakcik tentu akan berikan sokongan terhadapnya.

Mikail mencapai sekeping kertas kumal dan sebatang pen hitam. Malam ini dia mesti meluahkan segala derita yang terpendam di lubuk hatinya. Hanya tinggal seminggu! Ya, seminggu... Aliesya bakal menjadi milik orang dan Mikail perlu bersedia untuk menghadapi segalanya. Dan coretan duka ini hanyalah untuk dirinya sahaja.
Dia tiada kekuatan untuk dikirimkan kepada insan disana...

Buat insan yang paling ku cintai,

Apa khabar Aliesya? Mikail disini macam biasa. Hari-hari Mikail dah tak lagi berseri sepertimana sewaktu kita masih bersama-sama asyik menyulam cinta. Aliesya mesti berdebar, kan? Menghitung detik bergelar ratu sehari. Tapi sayang bukan Mikail yang bakal menggenggam tangan tok kadi, meyakinkan wali bahawa Mikail pilihan terbaik buat Aliesya. Mikail tak mungkin dapat tersenyum tatkala mengenangkan hari bahagia Aliesya hampir tiba.
Setiap waktu yang berlalu, bagaikan menghambat Mikail. Tak tahu kenapa. Mungkin cintaku buatmu terlalu dalam, Aliesya. Mikail terpaksa terima bahawa bukan Mikail yang bakal memegang erat jemari Aliesya dan tersenyum bahagia disamping Aliesya diatas pelamin yang dihias indah kelak.
Pergilah Sayangku, Bermula Semula, Semangat Cintaku, Membara Kerana Dia. Tiada Niatku...

Sekeping hati ini
Telah kuserahkan buatmu
Dari saat bermula
Detik perkenalan
Hingga terciptanya
Perpisahan
Yang tidak pernah
Aku bayangkan
Sambutlah rindu ini sayang
Semoga mekar kasih terhadapnya
Bawalah cinta pergi
Dengan keluhuran
Seputih salji
Selamilah hamparan kasih
Hapus semua gundah

- Akan Kuintai Bahagiamu Dari Jauh, Sayang -



"Macam mana dengan VISA? Kad Pengenalan? Semua dah ada?" Soal Ikhwan penuh prihatin. Dia memahami sesuatu. Sesungguhnya Mikail tak mampu untuk berdepan dengan saat-saat yang bakal meruntun hatinya. Sahabatnya ini langsung tak bersedia untuk berada di Malaysia semasa Aliesya dan Ariff disatukan kelak. Dia lebih rela menghabiskan masa di Korea daripada menghadiri majlis tersebut.
"Kau jangan bimbanglah, Ikhwan. Aku dah settlekan semuanya. Dah sampai masanya untuk aku naik flight. Kau jaga diri elok-elok. Aku tahu apa yang sedang aku lakukan, Ikhwan. Kau jangan lupa bagi hadiah kahwin Aliesya yang aku tinggalkan tu."
Ikhwan mengangguk perlahan.
"InsyaAllah Mikail."
Mereka berpelukan seketika. Ikhwan menepuk-nepuk belakang Mikail. Agak lama sebelum melepaskan sahabatnya menuju ke arah balai berlepas.
"Mana Aliesya ni? Lambatnya! Nak jumpa Mikail ke tak?" Rungutnya dalam hati.
Semalam dia telah memberitahu gadis itu mengenai pemergian Mikail ke Korea. Dia ingin mereka bertemu sebelum Aliesya mendirikan rumah tangga. Kini, rancangannya tidak menjadi. Ikhwan duduk di bangku. Lahir keluhan hampa dari mulutnya.

Aliesya merentap pautan jemari Ariff. Dia berlari selaju yang mungkin, mengejar masa untuk menatap wajah yang sekian lama dirindui. Setelah puas memujuk Aliesya, akhirnya Ariff akur dengan permintaan tunangnya untuk bertemu Mikail. Jika Ariff enggan, Aliesya tak mungkin akan mengahwininya. Meski terpaksa, dia memandu juga ke KLIA semata-mata untuk memenuhi hasrat Aliesya. Jauh disudut hati, Ariff teringin melihat bagaimanakah gerangan Mikail yang terlalu dipuja oleh Nur Farra Aliesya? Adakah sesegak dirinya?
Ikhwan terkejut bukan kepalang melihat kehadiran Aliesya ditemani oleh seorang lelaki berwajah kacukan. Dia mengetap bibir.
"Mana Mikail?" Soal Aliesya cemas. Dia mengurut dada.
Ikhwan membulatkan mata.
"Baru sekarang kau sampai? Habislah, Aliesya. Mikail dah naik flight. Tak tahu bila kau akan jumpa dia lagi." Luah Ikhwan geram. Dia betul-betul bengang apa lagi setelah melihat wajah sombong Ariff. Langsung tiada riak wajah bersalah.
"Nah, ambik ni. Mikail bagi."
Ikhwan berlalu setelah menyampaikan hadiah perkahwinan itu kepada Aliesya. Tanpa menghiraukan renungan tajam Ariff, Aliesya terus membuka bungkusan hadiah tersebut. Sehelai selendang berwarna ungu lembut berserta sekeping kad. Ringkas saja tulisannya.
"Buat sahabat yang paling Mikail sayangi, tunggu kedatangan Mikail nanti. Mikail taknak kempunan nasi minyak Aliesya"
Air hangat mula bertakung dikolam matanya. Aliesya terhinggut-hinggut menahan tangis. Ariff menarik tangan gadis itu. Langkahnya dipercepatkan. Dia mengetap bibir. Entah marah ataupun hiba. Dia keliru.

"SURPRISE" Suara yang menyapanya dari belakang cukup untuk membuatkan Ikhwan tersenyum lebar. Suara yang begitu dikenalinya.
"Hei, Mikail! Awalnya kau balik?" terus saja Ikhwan melangkah menghampiri Mikail sebelum memeluk sahabatnya seerat mungkin.
"Aku kan Mikail Solohin, apalah kau nie?" Mikail tergelak.
Ikhwan tersenyum lagi. Masih ada persoalan berlegar dikepalanya.
"Aku akan pergi esok. Janji mesti ditepati. Aku nak tengok Aliesya dan Ariff bersama." Ujar Mikail bersungguh-sungguh.
Bagai memahami perkara yang mengasak fikiran Ikhwan, Mikail terlebih dahulu menjelaskan perkara sebenar. Ikhwan menepuk bahu Mikail. Dia lega kerana sahabatnya ini mampu membuat keputusan yang rasional akhirnya. Tiada permusuhan mengiringi perpisahan mereka. Inilah Mikail, sahabat yang dikenali sejak dulu. Seorang insan yang penuh dengan keikhlasan dan kejutan.

Ikhwan memandang Mikail yang masih lena di tempat tidurnya. Pelik! Biasanya Mikail tak pernah lewat bangun untuk menunaikan Solat Subuh. Apatah lagi hari ini merupakan hari yang begitu ingin diraikan oleh Mikail. Melihat Nur Farra Aliesya diijabkabulkan dengan Ariff Syakir.
Mungkin Mikail terlalu letih kerana semalaman mereka berjaga, menghabiskan masa dengan berborak kosong dan juga bergurau senda. Yang Ikhwan tahu, dia terlebih dahulu dibuai mimpi sementara Mikail masih duduk di meja study. Entah apa yang sahabatnya lakukan, dia pun tak tahu.
"Aku sayangkan Aliesya lebih dari diri aku sendiri, Ikhwan. Aku terlalu cintakan dia. Tak mungkin ada wanita lain yang mampu menggantikannya. Lepas ni aku akan pergi jauh untuk tenangkan hati."
Ikhwan kerut dahi. Lain macam je ayat Mikail.
"Kau jangan bimbanglah, Ikhwan. Aku balik ke Korea semula lepas nie."
Terngiang-ngiang suara Mikail di pendengarannya. Bersungguh-sungguh jejaka itu menyatakan bahawa hebat rasa cinta terhadap Nur Farra Aliesya serta meluahkan keinginan untuk melanjutkan pengajian di negara empat musim itu.
Ikhwan cuba mengacah-ngacah Mikail dengan menghalakan lampu suluh ke muka sahabat karibnya. Biasanya Mikail terus tersedar bila sahaga cahaya lampu menyilaukan wajahnya. Mungkin Mikail tidak mahu mengalah pada kali ini.
Ikhwan tergelak-gelak, namun tiba-tiba jantungnya berdetak laju. Dia mendapatkan Mikail lalu memegang tangan sahabatnya. Terlalu dingin. Mikail juga tidak menyahut bila Ikhwan berkali-kali memanggilnya. Ikhwan terketar-ketar, dia cuba menahan emosi. Dia mengangkat tangan Mikail namun tangan itu terkulai apabila dilepaskan.
"Tidak! Mikail! Bangun Mikail!!" Ikhwan semakin cemas. Dia sukar untuk mempercayai apa yang sedang berlaku kini. Lantas dia melakukan CPR, dengan harapan Mikail tersedar semula daripada pengsan.

Aliesya gelisah. Ariff dapat melihat kelainan pada raut wajah isterinya. Kebimbangan jelas terpancar di wajah Aliesya. Dia cuba untuk menenangkan Aliesya. Upacara persandingan bakal berlangsung sebentar saja lagi.
"Aliesya, janganlah macam ni. Abang tahu Mikail mesti sampai sekejap lagi." Ariff memujuk lembut. Dia mengelus lembut bahu isterinya. Aliesya mengangguk walhal dalam hatinya berdegup kencang seperti merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku.

Maisara menahan sebak. Dia berlari keluar dari bilik setelah menerima panggilan dari Ikhwan. Penuh ketenangan, dia membisikkan sesuatu ke telinga Aliesya. Tanpa dapat mengawal emosinya, Aliesya meraung di situ juga. Dia terduduk. Maisara menerpa dan mendakap Aliesya.
"Kak, Mikail kak... Aliesya dah tak dapat jumpa Mikail lagi." Air mata berjuraian membasahi pipi.
Tetamu yang hadir saling berpandangan. Ibu bapa kedua-dua mempelai terkejut melihat perlakuan Aliesya. Puan Aisyah tunduk sugul. Rasa bersalah menerpa kalbu kerana menghalang niat baik jejaka itu menyunting anak gadis mereka suatu masa dulu. Kini jejaka itu telah meninggal dunia.
Puaskah hati mereka? Adakah pintu kemaafan masih terbuka buat mereka? Tanpa menghiraukan tetamu yang mula membuat andaian masing-masing, Puan Aisyah memeluk Aliesya dan berusaha meredakan tangisan anak bongsunya. Belakang badan Aliesya diusap-usap.
"Ibu, Mikail dah tak ada, bu. Aliesya nak jumpa Mikail, Ibu. Please Ibu. Aliesya rindukan Mikail." Tubuhnya menggigil. Suaranya tenggelam dalam esak tangis.
"Ibu minta maaf sayang, Ibu bersalah."
Mendengar ucapan yang terzahir dari mulut ibunya, semakin deras air mata membasahi pipi.
"Aliesya langsung tak salahkan ibu. Ini semua takdir. Kita kena terima.
Ariff masih lagi terpinga-pinga. Maisara menghampirinya dan menyatakan sesuatu yang cukup membuatkannya terpana. Dadanya berombak kencang.
Aliesya memandang Ariff mengharapkan pengertian setelah mendengar perkhabaran yang disampaikan oleh kakak iparnya. Ariff memaut tangan isterinya. Dia bergegas membawa Aliesya kerumah Ikhwan, tempat jenazah Mikail disempurnakan. Setibanya dirumah Ikhwan, mereka hanya dapat melihat jenazah Mikail telah diusung ke tanah perkuburan.

Pandangan Aliesya kelam. Dia lemah untuk terus berpijak. Ariff merangkul tubuh isterinya.
Ariff mengelap wajah isterinya dengan air suam untuk mendatangkan kelegaan buat Aliesya apabila isterinya sedar nanti. Aliesya membuka matanya yang sejak tadi terpejam rapat. Kepalanya terasa agak berat. Ariff memangku kepala isterinya dan menyandarkan bantal pada kepala katil. Dia mahukan yang terbaik buat Aliesya lebih-lebih lagi dalam keadaan isterinya yang tentu saja tertekan pada saat ini. Seraut wajah Aliesya ditatap sayu. Aliesya membalas renungan itu dengan mata yang berkaca.
"Abang, Aliesya minta maaf. Aliesya takkan sakitkan hati abang, Aliesya akan layan abang seadilnya tapi tolong jangan paksa Aliesya untuk melupakan Mikail dalam masa yang terdekat ni. Aliesya tak mampu. Aliesya mengharapkan sokongan dari abang."
Ariff meletakkan jari telunjuknya ke bibir Aliesya. Dia amat mengerti. Dia takkan menjadi sekejam itu untuk mendera perasaan Aliesya. Dan mulai detik ini, dia mengagumi insan bernama Mikail Solihin. Dia menarik Aliesya ke dalam pelukannya.
"Sayang, abang faham. Abang akan sokong Aliesya selagi abang mampu bernafas. Aliesya tak salah apa-apa dengan abang. Abang yang patut minta maaf. Maafkan abang, Aliesya."
Aliesya tak mampu bersuara. Rasa hatinya kala itu hanya mampu diluahkan dengan air mata. Seketika kemudian, telefon bimbitnya berbunyi. Aliesya tersentak. Namun digagahkan jua untuk menjawab panggilan. Usahlah diharap lagi suara Mikail akan menemani hari-harinya.
"Assalamualaikum, Aliesya. Aku nak jumpa kau esok. Ada sesuatu yang aku nak tunjuk."
Aliesya mengiakan permintaan Ikhwan. Setelah menjelaskan perkara sebenar, Ariff mengizinkan mereka bertemu malah dia ingin sekali menemui Ikhwan yang begitu setia pada persahabatan.

Ikhwan menggenyeh-genyeh matanya yang masih mengantuk. Dalam mamai dia terdengar nada deringan telefon bimbit Mikail. Ya Allah! Siapa lagi yang mahu menghubungi setelah mengetahui tuan punya telefon ini telah meninggal dunia. Dengan langkah longlai, Ikhwan mencapat telefon tersebut.
"Assalamualaikum, Encik Mikail. Saya Doktor Mukhriz. Sila datang ke hospital untuk mengambil laporan perubatan encik."
Dada Ikhwan berombak kencang.
"Oh! Iya, pukul berapa tu doktor?" Soal Ikhwan dalam nada tegang.
"Dalam pukul 10.00 pagi ya, encik."
Ikhwan menarik nafas sedalam yang mungkin.
"Baiklah, terima kasih, doktor." Tanpa melengahkan masa, Ikhwan bergegas ke bilik air. Kemudiannya dia menelefon Aliesya untuk menukar lokasi pertemuan mereka.

Aliesya mengetap bibir. Ariff memeluk bahu isterinya. Ikhwan menanti dengan penuh debar. Doktor Mukhriz akan menunjukkan keputusan laporan perubatan arwah Mikail.
"Silakan masuk." Doktor muda itu mempersilakan mereka bertiga ke biliknya.
"Saya mengucapkan takziah atas pemergian Encik Mikail. Sebenarnya dalam laporan perubatan ini, kami mendapati Encik Mikail menghidap penyakit barah otak di peringkat akhir. Saya belum sempat bertemunya untuk memberi rawatan susulan. Namun Allah lebih menyayangi Encik Mikail. Simpanlah laporan ini. Tabahkan hati kamu." Doktor Mukhriz menepuk bahu Ikhwan. Mereka berjabat tangan sebelum keluar dari bilik tersebut.
Ikhwan dan Ariff membuang pandang ke arah Aliesya. Kedua-duanya menyangka gadis itu akan menangis lagi namun ternyata jangkaan mereka silap. Aliesya kelihatan sangat tenang. Ikhwan membawa pasangan pengantin baru itu menuju ke Starbucks Coffee berhampiran. Dia pasti mereka kini memerlukan ketenangan ekoran gelodak rasa yang melanda jiwa kerana pemergian Mikail.
"Aliesya, aku nak sampaikan amanat terakhir arwah Mikail. Diari ini dan semua barang Mikail, kau yang paling layak simpan. Lagipun banyak kenangan antara kamu berdua dalam diari tu. Emm... Ini surat yang Mikail tinggalkan untuk kita. Dia tulis pada malam sebelum dia pergi. Kau bacalah." Ikhwan terus berlalu. Tidak mahu melihat air mata Aliesya tumpah lagi.
Ariff tenang memandu. Aliesya memegang erat kotak Donald Duck yang berisi barang-barang peninggalan arwah Mikail. Sampai sahaja di rumah, Aliesya berlari menaiki tangga. Dia mahu masuk ke bilik secepat mungkin. Ariff mengekori dari belakang.

Kehadapan insan-insan yang paling bererti dalam hidupku,


Mikail bersyukur dipertemukan dengan kamu berdua. Dalam hidup yang singkat ini, tak mungkin kita dapat ramal apa yang bakal berlaku. Mikail amat menyayangi kalian.
Ikhwan, aku bertuah dapat sahabat karib macam kau. Tiada lain yang aku harapkan, semoga kau berjaya mengecapi segala yang kau idamkan selama nie. Realisasikanlah impian kita bersama yang belum tentu dapat aku kecapi kelak. Aku akan tunggu saat-saat itu, Ikhwan. Aku yakin kau akan tunaikan hasrat aku nanti.
Aliesya, Mikail gembira sebab Aliesya tunaikan janji Aliesya untuk mengahwini Ariff. Mikail bangga sangat kerana Aliesya tak hampakan niat ibu bapa Aliesya semata-mata sebab Mikail. Terimalah Ariff seadanya. Tiada siapa yang betul dan salah dalam hal ni. Hanya Dia yang berkuasa dan Dialah yang menentukan setiap perjalanan hidup kita di muka bumi ini, Aliesya. Terimalah hakikat bahawa antara kita memang tiada jodoh.
Aliesya, lepas nie Mikail akan pergi untuk menyambung pengajian di Korea. Entah bila kita akan bertemu lagi, sayang. Ingatlah syurga seorang isteri terletak dibawah telapak kaki suami. Taatilah Ariff seadanya, Aliesya. Akan Ku Intai Bahagiamu Dari Jauh, Sayang.


Penuh Kasih Sayang,
Mikail Solihin



Membulat pula matanya sebaik membaca untaian kata-kata pada sekeping kertas kumal yang terselit pada diari arwah Mikail. Aliesya menahan titisan air mata dari membasahi pipi. Dia beristighfar panjang. Ariff hanya mampu memandang gelagat isterinya. Nak menyampuk, dia tidak tahu apa yang harus diperkatakan.
"Abang, kita pergi Korea?" Usul Aliesya dalam keadaan sebak sambil menggenggam erat tangan suaminya.
Ariff mendakap isterinya lantas mengucup dahi Aliesya. Inilah langkah yang terbaik untuk isteri kesayangannya, menenangkan diri untuk seketika.

Aliesya mencabut lalang yang tumbuh meliar di tanah perkuburan itu. Dia memegang erat jemari si kecil yang terkebil-kebil memerhatikan tingkahnya.
"Mikail, tunggu sekejap ya, sayang. Ibu dan ayah nak temankan pakcik Mikail. Dah lama ibu tak jumpa pakcik Mikail." Luah Aliesya lembut pada Mikail Solihin Bin Ariff Syakir yang baru berusia setahun itu. Dia mengucup anak itu penuh kasih.
Ariff memeluk berat bahu isterinya.
"Cuaca hari ini baik, insya Allah segalanya akan berjalan dengan lancar." seketika kemudian membentangkan tikar.
"Abang, tolak ke sini sikit." Tegur Aliesya lembut.
Ariff tersenyum. Dia bersedia membaca surah Yasin buat arwah Mikail. Setelah selesai menyedekahkan ayat-ayat suci, mereka menjirus air mawar ke pusara Mikail. Moga-moga sedekah mereka dapat mendamaikan Mikail di sana, Insya Allah...



-TAMAT-