Isnin, 10 Januari 2011

Trofi [Full Version]

Hidup tanpa ilmu memang payah. Lebih-lebih lagi pada masa sekarang. Setakat SPM, nak dapat kerja baik, jangan haraplah! Lagi parah jika bermastautin di Kuala Lumpur ini. Bandar raya yang semakin hari semakin kecil, sempit dengan persaingan yang datang bukan sahaja daripada luar bandar malah luar negara. Kehidupan sehari-hari bagai pertempuran. Sesiapa yang lemah tak mungkin akan kekal. Bagi yang menang pula, pertempuran hari esok masih menanti.
Farizal membersihkan beberapa contoh piala yang dijadikan pameran dikedai menjual peralatan seni itu. Bagai seorang pakar, pekerjaan itu tidak mengambil masa yang lama buat dirinya. Setelah itu dia kembali semula ke kaunter menunggu pelanggan.
Dari atas pelantar kaunter, dia memerhati hasil kerjanya yang sedari pagi tadi mengemas kedai tersebut. Sama seperti hari-hari sebelumnya, Farizal berpuas hati. Jam menunjukkan jam 10.30 pagi. Masih awal untuk kedai itu dikunjungi ramai pelanggan. Selalunya Arts Faundation hanya akan sibuk pada waktu puncak iaitu antara 1.00 hingga 5.00 petang.
Lokasinya strategik di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, terletak di kawasan China Town, Petaling Street yang menjadi tumpuan pelancong dan juga pelajar-pelajar sekolah yang kebanyakannya menghadiri kelas tuisyen di pusat-pusat tuisyen sekitar, ditambah dengan Feng Shui yang bagus, pemilik kedai ini sememangnya mengaut keuntungan yang lumayan. Sudah enam bulan dia bekerja di situ dan ini adalah pencapaian terbaik Farizal selepas berpuluh kali tewas dalam pertempuran hidup di Kuala Lumpur.
Farizal mengelamun jauh. Walau dia menyukai pekerjaannya sekarang, mana mungkin dia akan bekerja disini untuk selama-lamanya.
Macam mana aku nak jadi kaya macam Tauke Wong tu? Kepalanya ligat berfikir. Pamplet Pusat Tuisyen Kasturi pemberian Alya yang ada diatas kaunter itu dibelek. Boleh lagi ke otak berkarat aku ni belajar?
Lepas sahaja habis SPM tiga tahun lepas, dia berdegil untuk bekerja. Hendak cari duit sendiri, kononnya. Tentangan keluarga yang mahu dia sambung belajar langsung tak dihiraukan. Malah dengan bangga dia meninggalkan rumah untuk duduk menyewa dengan rakan-rakan.
Pada mulanya memang seronok, hidup bebas tanpa pengawasan orang tua. Tetapi apabila tiba tengah bulan mulalah seksa, menahan lapar kerana poket sudah kering. Dekat setahun juga kehidupan Farizal terumbang-ambing, bertukar kerja tak terkira, sudah itu hampir pula terlibat dengan dadah dek kerana pengaruh rakan-rakan serumah. Mujur ada abang Haiqal, abang sulung Farizal yang cepat-cepat menariknya daripada terus hanyut. Berkat kesungguhannya untuk berubah, kehidupannya bertambah baik dari sehari ke sehari.
"Termenung jauh nampak." Alya tiba-tiba muncul.
"Alya! Terkejut abang. Awal datang hari ni!" Farizal tersenyum pada gadis pujaannya itu.
"Awal? Dah pukul 12.00 lah! Jom pergi makan." Alya mengajak manja.
"Kelas pukul berapa?" Farizal bertanya sambil mengemas pamplet yang dibeleknya tadi. Dia meninjau-ninjau sekitar kedai itu mencari Amir, rakan sekerjanya.
"Pukul 12.30. Alah sempat lagi, kita pergi makan dekat CM, okey." Alya memujuk.
Memang sengaja dia datang awal hari ni, niatnya nak pergi makan dengan si buah hati, Farizal sambil memujuknya untuk mengambil kursus yang ditawarkan Pusat Tuisyen Kasturi selepas dia SPM nanti. Sudah rezekinya, ayah tidak dapat menghantarnya ke pusat tuisyen hari ni. Maka semakin panjanglah kaki Alya melangkah.
"Amir, kau gantikan aku sejam, aku rehat dulu, boleh?" Farizal sedikit melaung memanggil Amir yang sibuk mengira stok berus lukisan di sudut belakang kedai itu.
"Okey! No problem." Amir menunjukkan ibu jari kanannya tanda setuju.
"Jom! Farizal menghulurkan tangannya, disambut mesra oleh Alya dan mereka beriringan keluar daripada Arts Faundation.
Gelak tawa mereka mengiringi perbualan mereka, melepas rindu masing-masing. Maklumlah hubungan mereka tidak diketahui keluarga Alya. Maka agak sukar untuk bertemu selalu. Pertemuan mereka enam bulan lalu, sewaktu Alya menunjukkan jalan kepada Farizal yang tersesat untuk interview kerja di Arts Faundation membuahkan bibit-bibit cinta.
"Alya, kau masuk dalam kereta cepat!" Sebuah waja putih berhenti mengejut di sebelah pasangan itu. Pemandunya membunyikan hon beberapa kali.
"Ayah!" Alya gugup, ketakutan melihat ayahnya yang lengkap berpakaian seragam polis. Disebelahnya seorang lagi anggota polis, rakan setugas ayahnya, Pakcik Ghazali.
"Aku kata masuk!" Sekali lagi suara itu menjerit.
Alya akur, masuk kedalam kereta peronda itu sambil merenung Farizal yang masih lagi terkejut.
Farizal memandang kereta itu meluncur pergi sehingga menghilang disebalik kesesakan jalan raya.

"Aku pergi hantar kau tuisyen bukan untuk kau menggatal cari jantan! Kau ingat umur kau tu berapa tahun, pandai-pandai nak bercinta. Baru setahun jagung! Kalau dah gatal sangat nak kahwin, tunggu lepas kau habis SPM akhir tahun ni aku nikahkan! Aminuddin menyinga.
Saban waktu dia mengutuk anak-anak muda zaman sekarang yang berkepit-kepit lelaki perempuan sewaktu keluar menjalankan rondaan sekitar bandar raya. Tidak tersangka pula hari ni dia terhantuk batang hidung sendiri, anak sendiri yang buat perkara tu.
"Mana aku nak letak muka aku dengan si Ghazali tu. Buat malu je!"
"Kami kawan saja, ayah. Bukannya buat benda tak senonoh." Alya menjawab cuba pertahankan diri.
Disuatu sudut, Hamidah, ibu Alya hanya memerhati. Tidak termampu untuk buat apa-apa. Sememangnya suaminya tidak boleh dihalang ketika marah masih membara.
"Kau menjawab, menjawab!" Aminuddin menampar pipi anaknya itu membuatkan Alya terjelepok.
"Kau ingat aku buta! Berpegang-pegang tangan, terkekeh-kekeh gelak, senonoh sangat ke? Lepas ni kau jangan pergi tuisyen lagi. Kau pergi sekolah aku hantar, balik sekolah aku ambil. SPM nanti kalau kau tak pas aku kahwinkan saja dengan sesiapa. Kau buatlah perangai lagi Alya! Aku akan buat apa yang aku cakap ni." Aminuddin mengugut lantas dia bingkas meninggalkan rumah mencari cara untuk meredakan kemarahannya.
Alya dibiar bercucuran air mata. Hamidah mendekati anak gadisnya itu.
"Mak!" Alya memeluk ibunya.
Tamparan Aminuddin sebentar tadi jelas di pipi Alya, memerah menutupi gebu putih kulitnya. Namun kesakitan tamparan itu tidak seberapa kalau nak dibandingkan kesakitan hatinya tatkala ini.
"Kau dah tahu ayah kau pantang dengan perkara macam nie, yang kau buat tue, kenapa?" Hamidah bersuara tegas.
"Abang Farizal tue baik mak! Alya sayang dia." Alya merintih terkenangkan Farizal. Bagaimanakah perasaannya ketika ini.
"Kau jangan Alya! Ayah kau tu pegang pada janji. Kalau kau tak dapat masuk Universiti lepas ni, kau nak ke kahwin dengan sesiapa yang ayah kau cakap tue? Sudahlah dia kecewa dengan kakak kau dulu, malas belajar! Kau nak jadi macam kakak kau ke?" Hamidah sedikit membentak.
Dia jelas dengan sifat suaminya. Sebenarnya Aminuddin cemburu dengan kejayaan anak rakan-rakannya yang lain, masing-masing dapat masuk menara gading. Semasa along dulu, keputusan SPMnya terus. Elok saja ada orang masuk meminang, terus dikahwinkan. Dia tidak mahu angah; Alya, mendapat nasib yang sama. Bukan mudah untuk hidup berkeluarga dalam usia yang terlalu muda.
"Tapi Alya sayangkan abang Farizal, Alya sayangkan abang Farizal." Alya terus-terusan merengek.

Abang Farizal,

Alya tidak tahu macam mana nak mulakan. Ayah marah sangat tentang hubungan kita. Alya tak boleh pergi tuisyen lagi. Alya dah tak boleh jumpa abang Farizal lagi. Ayah ugut untuk kahwinkan Alya lepas SPM nanti. Alya tak mahu! Apa yang patut Alya buat, abang? Alya bingung, Alya rindukan abang! Tolong Alya...

- Alya -

Farizal membaca berulang kali cebisan kertas pesanan Alya yang dikirim melalui Melissa, rakan sekelas Alya. Melissa diam di depan pemuda yang telah menambat hati kawannya itu, memerhatikan Farizal mengelamun jauh memikirkan sesuatu.
Aku tak punya apa? Cuma pekerjaan yang mampu menyara hidup aku seorang sahaja. Apa yang patut abang buat, Alya! Semua nie diluar kekuasaan abang.
Farizal pasrah...
"Alya tak habis-habis menangis, Abang Rizal. Abang nak Mel sampaikan apa-apa buat dia?" Melissa akhirnya bersuara setelah melihat Farizal mendiamkan diri tanpa kesudahannya.
"Mel, lepas SPM nanti, korang nak buat apa? Farizal memecah kebuntuan Melissa.
"Tak tahu lagi, Mel ingat nak kerja sambilan." Melissa laju menjawab.
"Tak, maksud abang korang akan sambung belajar lagi ke?" Farizal inginkan kepastian.
Minggu lepas sewaktu perjumpaan dia dengan Alya, gadis itu beria-ia mengajaknya mengambil kursus yang ditawarkan oleh Pusat Tuisyen Kasturi bagi pelajar lepasan SPM. Pada mulanya dia tidak tahu apa yang tersirat di fikiran Alya tetapi kemusykilannya kini mengenai niat gadis itu memuncak.
"Oh... Mestilah bang!" Jawab Melissa bersungguh.
"Mel nak masuk mana?" Farizal terusan bertanya.
"Kalau boleh Mel nak masuk matrik, kalau tak dapat ambil diploma kot! Kenapa abang tanya?" Melissa musykil.
"Alya ada beritahu Mel, dia nak buat apa lepas SPM?" Farizal bertanya lagi.
"Alya kata dia nak ambil kursus komputer je lepas tu nak minta jadi kerani. Dia tak nak masuk mana-mana sebab takut berjauhan dengan abang. Dia sayang sangat dengan abang tau!" Melissa tersenyum terkenang obsesi Alya dengan teman lelakinya.
Ah! Aku pun apa kurangnya. Mujur ada Faiq. Kalau bukan kerana si Faiq tu budak SAS (Sekolah Alam Shah) mungkin dia tidak seserius sekarang dalam pelajaran. Aku nak masuk Universitu dengan Faiq, Melissa berkhayalkan teman lelakinya.
Farizal terkesima mendengar kata-kata Melissa. Tak sangka sehingga begitu serius Alya memikirkan hubungan mereka berdua. Sudahnya apabila situasi begini terjadi, tidak mungkin dia mahu korbankan masa depan Alya.
"Alya pandai tak Mel?" Satu lagi soalan Farizal.
"She's among straight A's masa PMR dulu. Sekarang bolehlah! Selalunya dia dapat top 10 tapi masa pertengahan sem lepas dia dapat nombor 15." Melissa jujur. Dia masih tidak tahu sebab apa soalan-soalan itu diajukan oleh Farizal.
Farizal membuat keputusannya.
"Mel boleh tolong abang? Mel kawan baik Alya kan?" Farizal serius.
Melissa sekadar mengangguk.
"Tolong abang buat Alya benci pada abang! Buat Alya lupakan abang!" Farizal merenung gadis di depannya, bersungguh dengan apa yang baru dilafazkannya sebentar tadi.
"Ha! Apa?" Melissa terkejut.
"Please Mel! Tolong abang!" Farizal tekad.

"Selamat pengantin baru, Puan Faiq!" Alya menepuk bahu Melissa yang sedang di solek mak andam.
"Hish kau nie Alya, karang tak pasal-pasal aku tak dapat naik pelamin sebab kena heart attack. Melissa tergelak, seronok melihat kedatangan kawannya itu. Tugas mak andam yang sedang menyoleknya terbantut.
"Eh, Jangan. Karang mengamuk si Faiq dekat aku. Tak sangka jadi juga kamu berdua. Boleh tahan juga cinta monyet kau dengan Faiq. Apa rahsia?" Alya berseloroh, terhibur melihat Melissa yang berseri-seri. Almaklumlah Raja Sehari.
"Mana boleh beritahu. Nama pun rahsia! Kau bila lagi Alya? Tak jumpa lagi ke Prince Charming kau?" Giliran Melissa pula mengusik Alya.
"Tak ada jodoh lagi! Prince Charming aku merajuk kot?" Kedua-dua mereka tergelak.
Entah mengapa percintaannya selepas Farizal selalu menemui jalan buntu. Dalam hati kecil Alya bagai mengimpikan Farizal muncul semula dalam hidupnya. Walau sudah tujuh tahun berlalu, mungkin kerana Farizal cinta pertamanya, bukan mudah untuk dia melupakan pemuda itu. Tetapi mungkinkah aku memaafkan dia? Dia telah membuatkan hati aku hancur! Yang menganggap aku bohsia murahan yang senang dipermainkan. Yang menghina ayah aku dengan macam-macam gelaran. Yang buat aku bercucuran air mata memendam rasa.
Kalau dia muncul semula sekarang ni, pasti akan aku hamburkan semula kata-katanya. Biar dia tahu siapa Dr. Nur Alya sebenarnya, seorang graduan perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Sedangkan dia siapa? Hanya seorang kuli kedai alat seni lukis! Dengan kaki je aku boleh kuis. Alya berdendam.
"Apa dah jadi dengan Fikri?" Melissa bertanya.
"Aku dah buang dalam tong sampah. Loghat sangatlah! Jangan risau! Lama lagi aku nak kahwin, Mel. Aku nak tunggu kau dapat anak dulu. Eh! Biar aku keluar dulu ye, karang tak siap-siap kau bermekap. Nanti bersanding senyum lebar-lebar tau!" Alya bingkas ingin mengundur diri.
"Eh, kejap-kejap Alya. Aku nak bagi kau sesuatu!" Melissa mencapat tas tangannya. Daripada beg biru muda itu dikeluarkan satu resit kecil. Resit itu dihulurkan kepada Alya. Alya melihat resit itu kemudian berpaling kepada Melissa.
"Apa ni?" Tanya Alya pendek.
"Ada secret admire bagi. Nanti kau pergi kat kedai tu, tunjuk saja resit ni. Nanti kau tahulah." Melissa berteka-teki dengan Alya.
"Kau biar betul Mel." Alya kehairanan.
"Betul, kau jangan tak pergi pula. Pergi tau!" Melissa bersungguh.
"Ada-ada saja kau ni." Alya menyimpan resit itu di dalam tas tangannya. Tangannya sudah bersedia memulas tombol pintu.
"Eh, Kau pergi tau." Melissa sedikit menjerit apabila Alya sudah pun melangkahkan kaki keluar daripada bilik pengantin.
"Hoi, apa pengantin menjerit tu!" Karim, ayah Melissa menegur anaknya.
Semua yang ada di ruang tamu yang menempatkan pelamin pengantin tergelak. Alya malu sambil tersengih. Dia meminta laluan untuk keluar ke kawasan tetamu makan. Dia mengenakan sepatunya, kasut setinggi tiga inci itu sendeng sedikit ke kanan menyebabkan Alya tidak stabil...
"Opss!" Alya hampir terjatuh. Tangannya automatik memaut seseorang. Orang itu membantunya berdiri semula. Wajah Alya merah, malu! Dia mengangkat wajahnya ingin mengucap terima kasih pada orang yang telah menyelamatkannya. Namun lidahnya kelu. Abang Farizal!
"Awak tak apa-apa ke?" Pemuda itu menyoal lembut. Riaknya bersahaja, tersenyum manis.
"Tak, saya okey. Terima kasih ye! Err... Saya Alya, kawan Mel. Alya memperkenalkan diri. Dia ingin mengetahui tentang lelaki itu. Mungkin sudah bertahun-tahun tapi...
Pemuda itu mengenakan baju batik biru pekat, berambut panjang yang diikat kemas, berkumis nipis dan berperwatakan matang, berlainan dengan Farizal tujuh tahun dahulu. Tapi senyuman itu...
"Saya Adznan!" Ringkas jawapan pemuda itu. Senyumannya dilontar lagi.
Alya masih belum puas hati lagi.
"Kawan Melissa atau kawan Faiq? Alya menyoal lagi.
Lelaki itu sekadar tersenyum. Senyuman misteri yang tak dapat dibongkar oleh Alya.
Apa betul lelaki ini abang Farizal? Ah! Tak mungkin. Adznan beredar begitu sahaja membuatkan Alya kebingungan.
Bunyi kompang bertalu menandakan kedatangan pihak lelaki. Tetapi bukan Faiq yang dicari Alya tapi Adznan yang telah menghilang dalam kabut manusia di sekelilingnya. Perkahwinan rakannya membuatkan hati Alya tidak tenang.

"No 29, Abstrak..." Pandangan Alya beralih daripada resit ditangannya kepada papan nama bagi premis di hadapannya. Setelah agak pasti dia melangkahkan kaki ke dalam premis tersebut.
Alya disambut dengan suasana yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Abstrak nyata sekali bukan sebuah galeri biasa seperti galeri-galeri yang selalu dikunjunginya. Seunik namanya, Abstrak membuatkan Alya terkesima. Siapan jubinnya berkilat menampakkan refleksi pemijaknya serta ukiran plaster siling yang cantik bertemakan alam.
Gabungan hitam putih yang diilhamkan daripada simbol yin dan yang itu membentuk bulatan yang membahagikan ruang utamanya kepada dua. Hitam menempatkan koleksi buku, cakera hitam, cd-cd, video dan pelbagai lagi. Menariknya bahan-bahan tersebut disusun pada rak-rak unik yang tak terlafaz definisi bentuknya, abstrak sekali!
Alya beralih pula pada Putih, ruang itu menempatkan koleksi lukisan yang menarik, memukau pandangan mata yang menyantap setiap karya itu. Terdapat juga pecahan-pecahan rak disana sini yang disusun diatasnya barangan-barangan lukisan untuk dijual. Walau agak monotone, tetapi ruangan itu terserlah ceria dengan dekorasi dan bahan pameran yang memberi warna tersendiri pada galeri ini.
Alya menyusuri bahagian tengah yang menjadi pembahagi antara hitam dan putih. Dia tersenyum sendiri, terhibur melalui laluan itu yang melengkung seiring lengkungan yang ada pada yin dan yang. Matanya tidak henti-henti melihat pada lantai yang dipijaknya, memastikan setiap langkahnya memijak imej-imej helaian bunga ros yang merentang sepanjang laluan itu. Kilauan imej itu menjadikan ianya kelihatan seperti tiga dimensi. Dihati kecil Alya, dia kagum dengan pemilik galeri ini.
"Boleh saya bantu cik?" Sapaan seorang pemuda berbaju hitam putih bercorak abstrak lengkap dengan topi hitam bertekat putih tulisan Abstrak diatasnya mematikan gerak kaki Alya. Pipinya sedikit kemerahan, malu dengan gelagatnya sendiri. Resit ditangan diserahkan kepada pemuda itu.
"Cik boleh ikut saya." Dihias senyuman, pemuda itu mengiringi Alya ke ruang belakang galeri. Di hujung ruangan yin dan yang itu merupakan sebuah cafe kecil dan juga ruang bacaan.
"Cik tunggu disini sebentar ya! Ada apa-apa yang cik mahu? Minuman?" Pemuda itu mempelawanya duduk pada sebuah seti yang ada di ruangan cafe.
"Coffee please! Thank you." Alya melabuhkan punggungnya sambil melihat kelibat pekerja premis itu yang hilang memasuki ruang lain di belakang kaunter cafe itu. Alya leka kembali, memerhati galeri itu. Tatkala itu baru dia sedar bahawa hanya dirinya pelanggan yang ada di situ.
Pelik! Belum waktu puncak agaknya! Fikirnya membuat kesimpulan.
"Apa khabar Alya?" Satu suara menegur gadis itu.
Alya bingkas menoleh ke belakang untuk melihat orang yang menegur. Dia membisu tergamam melihat pemilik suara itu.
Adznan Farizal menghulurkan tangannya namun terbiar tidak disambut oleh Alya. Senyuman terlirik di bibir pemuda itu. Rambutnya yang lurus melepasi bahu diselak dan disekat pada cuping telinga menampakkan jelas wajah kacaknya. Ditambah manis dengan kumis nipis dan janggut pendek, penampilan Farizal nyata tidak seperti tujuh tahun lepas. Dia kini Adznan Farizal Mansur, pemilik galeri Abstrak.
"Jemput duduk." Farizal mengambil tempatnya pada kerusi jati yang bersetentang dengan Alya.
Gadis itu masih membisu namun akur. Matanya dibuang jauh daripada menghadap lelaki yang ada di depannya.
"Alya tak kenal abang lagi?" Farizal memberanikan diri menyoal.
Alya menghembuskan nafas panjang. Mencari kekuatan untuk bersemuka dengan cinta pertamanya.
"Kalau awak adalah orang yang telah melukakan hati saya tujuh tahun dahulu, ya! Saya memang kenal sangat dengan orang tu. Orang yang memanggil saya bohsia, yang menghina ayah saya, yang membuatkan saya berlinang air mata, yang hampir meragut masa depan saya..."
"Yang mencintai awak sepenuhnya..." Farizal menyampuk amarah Alya.
Alya memandang tepat ke mata Farizal, terkejut dengan kata-kata itu. Senyuman yang dia rindu sejak tujuh tahun lalu dilemparkan kepadanya.
"Sungguh mudah untuk awak melafazkan cinta Encik Farizal! Semudah awak melepaskannya. Terima kasih!" Alya mengangkat punggung. Dia tidak perlu bersemuka dengan lelaki ini. Dia tidak mahu.
"Alya!" Farizal menaikkan suaranya membuatkan langkah Alya yang seterusnya terhenti.
"Awak rasa jika tujuh tahun dahulu kita masih bersama! Siapa awak sekarang Alya! Adakah awak akan bergelar Dr. Nur Alya Aminuddin? Atau sekadar kerani? Jika tujuh tahun dahulu kita masih bersama, adakah awak pasti yang kita akan bahagia? Setelah awak kecewakan ibu dan ayah awak?
"Jika tujuh tahun dahulu kita masih bersama! Adakah awak pasti yang awak takkan menyesal mencintai seorang kuli kedai lukisan? Jika benar tujuh tahun dahulu apa yang kita rasai adalah cinta, terfikirkah awak orang yang awak cintai itu akan berkorban demi awak sepertimana awak sanggup korbankan masa depan, pelajaran, mak ayah demi nak bersama dengan dia?" Farizal menghabiskan katanya, langtang melepaskan segala yang terbuku di hati.
Tiada bicara balas daripada Alya. Reaksinya hanya sekadar genangan air mata yang menanti masa untuk jatuh. Hakikatnya Alya tidak dapat menerima kehadiran Farizal semula ke dalam hidupnya tatkala ini. Semua kenangan pahir dahulu menerpa jiwanya satu-persatu membuatkan perasaannya sarat dilanda sedih, marah, bengang, geram... rindu... Kakinya diangkat ingin meneruskan niatnya sebentar tadi.
"Alya please! You need to listen!" Suara yang amat dikenali Alya menerpa ke cupingnya. Lantas dia menoleh.
"Mel!" Alya kehairanan. Dia teringat akan resit yang diberikan Melissa kepadanya. Melissa terlibat dalam sandiwara ini?
"Aku tahu Alya, kau keliru sekarang! Tapi kau perlu beri peluang pada abang Farizal. Beri peluang untuk diri kau sendiri! Jika tujuh tahun lalu aku meniup api amarah kau pada abang Farizal atas dasar penipuan, beri peluang untuk aku memadamkan api itu atas dasar kebenaran. Tolong Alya!" Melissa merayu. Dia berdiri penuh mengharap di sebelah Farizal, disisinya setia menyokong adalah Faiq, suaminya.
Alya tersenyum sini, geli hati dengan drama di depannya. Tubuhnya dipusing, kaki dihayun ke pintu keluar melalui ruangan pembahagi hitam dan putih yang dilaluinya tadi. Telinganya menangkap bunyi tapak kaki yang membuntutinya. Alya tidak mengendahkan. Realitinya saat ini dia tidak perlukan apa-apa penjelasan daripada mereka.
Tiba-tiba langkahnya terhenti, terpesona melihat sesuatu. Sesuatu itu adalah imej yang suatu masa dahulu merupakan memori terindah yang pernah dialaminya. Potret gadis riang ketawa menampakkan barisan gigi putih menerima sebuah trofi daripada seorang jejaka yang tersenyum manis, melutut dihadapan buah hatinya.
"Alya tahu tak hari ni hari apa?" Farizal menduga. Senyuman manisnya terukir melihat kerut wajah Alya.
Suasana medan selera CM yang hiruk pikuk dengan manusia itu menjadi latar pertemuan mereka. Sama seperti pertemuan-pertemuan mereka sebelum ini, tiada apa-apa yang istimewa kecuali sebuah beg kertas yang menemani Farizal.
"Hari apa? Abang Farizal punya birthday ye!" Alya membuat andaiannya, membalas senyuman jejaka didepannya.
"Bukaannn... tapi pada hari ini, lima bulan lepas..." Farizal berhenti sebentar melihat jam di tangannya.
"Tepattt... waktu sekarang ni, kita berdua berlanggar dekat depan pusat tuisyen Alya tu. Lepas tu Alya tunjukkan abang Arts Faundation, ingat?" Farizal menunjal lembut kepala Alya.
"Ooo, kiranya ulang tahun. Eh bukan! Ulang lima bulan kita bertemulah ye! Lima bulan pun dikira ke?"Alya manja.
"Lima bulan lama tau! Apa Alya nak bagi abang?" Farizal menghulurkan tangannya.
"Mana Alya ada beli hadiah. Tak tahu pun hari ni abang nak celebrate." Alya menepuk tangan Farizal, menepis ke tepi.
"Abang ada hadiah untuk Alya tau! Nak tak?" Farizal mencapai beg plastik yang sedari tadi diletak di tempat duduk di sebelahnya.
"Mestilah nak! Mana! Mana!" Giliran Alya menghulur tangan, teruja.
Farizal tersenyum lagi. trofi setinggi empat inci dikeluarkan daripada beg kertas lalu ditunjukkan kepada Aly.
"Trofi! Eee... Tak romantiklah abang ni. Mentang-mentang kerja dekat Arts Faundation." Alya buat muka.
"Ye ke tak romantik! Ini hadiah paling romantik yang abang dapat cari tau." Farizal menyapu-nyapu permukaan trofi di tangannya itu, cuba mengilatkannya.
Pandangannya dialih kepada Alya yang monyok. Dia beralih. melutut di depan gadis itu. Tidak mengendahkan mata-mata yang tertumpu kepadanya.
"Eh abang Farizal! Apa ni! Bangunlah! Malulah dekat orang ramai." Alya cemas.
"Tahniah! Kerana memenangi anugerah carta teratas di hati saya." Farizal menghulurkan trofi itu kepada Alya.
Alya mengambil trofi yang dihulur Farizal, membalas senyuman dengan ketawa kecil. Mulutnya ditutup. Cuba menahan deraian tawa yang lebih besar.
"Anugerah apa yang abang cakap tadi?" Alya masih lagi tertawa, hatinya terhibur dengan gelagat Farizal.
"Anugerah carta teratas hati abang! Rasanya tak akan ada orang yang dapat rampas title itu tau! Alya dah memenangi hati abang!" Kata-kata farizal bertukar nada, dia serius, merenung tepat ke mata Alya.
"Masih tiada siapa boleh menggantikan pemilik anugerah itu Alya!" Farizal bersuara apabila melihat Alya tergamam melihat lukisan yang mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.
Lukisan yang penuh menutupi bahagian dinding disebelah kanan pintu masuk galeri itu merupakan luahan memori paling berharga yang pernah dimilikinya dahulu. Segalanya teliti, riak wajah ceria Alya, kurung putih, kain Turqouise seragam sekolah yang dikenakan Alya, suasana medan selera CM, senyumnya buat gadis itu, berbaju dan berseluar hitam seragam Arts Faundation, berambut pendek dan berperwatakan bersahaja, segalanya dipotretkan tepat berdasarkan kenangan terindah itu.
Air mata yang sedari tadi ditahan Alya daripada tumpah berjuraian juga. Dia berpaling, emosinya tak keruan dihenyak perasaan bercampur baur.
"Kenapa? Kenapa sekarang? Alya dah banyak kali dipermainkan, abang tahu tak! Adam, Saiful, Fikri dan yang paling Alya kesal... Abang! Lelaki-lelaki yang tidak sepatutnya hadir dalam hidup Alya! Sehingga Alya rasa cinta bukan untuk Alya! Pintu hati ini dah tertutup rapat, bermula sejak tujuh tahun lalu. Pintunya tidak akan teranjak, terkuak lagi untuk dikecewakan buat sekian kalinya. Dan sekarang! Apa abang ingat semua ini akan dapat mengubah pendirian Alya?" Alya lantang, meluahkan emosi yang selama ini dipendam.
"Tidak Alya! Abang tahu semua ini tak mungkin dapat mengubah pendirianmu. Apa nilai Abstrak ini? Yang abang bangunkan dari pancaran semangatmu yang kau berikan dari jauh. Semangat buat melawan kata-kata halus dalam diri ini yang mengatakan abang tidak layak buat kau tujuh tahun lalu. Apa nilai potret itu? Sekadar membuang masa tiga tahun berserta titik peluh bagi merealitikan kembali saat paling manis dalam hidup abang. Apa nilai semua ini jika hendak dibandingkan dengan pedih, kecewa, amarah yang kau rasai selama ini!" Farizal menutur kata-katanya, juga beremosi.
Langkah diatur mendekati gadis yang kaku dimuka pintu galeri itu berjuraian air matanya. Farizal berhenti tepat di depan Alya. Dari kocek seluarnya, dikeluarkan sebuah replika trofi yang bersaiz lebih kurang empat inci tinggi dan dua inci lebar. Tapak trofi itu agak tebal, kotak bersaiz segi empat sama. Ukiran replika itu merupakan statue gadis manis yang bertudung mirip si Alya.
"Apa yang abang harapkan..." Farizal melutut, mendongak memandang gadis yang tidak henti-henti dicintainya selama ini.
"Ini dapat mengubah pendirianmu Alya! Sudikah pemenang anugerah carta teratas hati ini menjadi permaisuri dalam hidup abang? Buat selama-lamanya..." Farizal membuka tapak trofi itu, menyerlahkan sebentuk cincin permata bermata satu yang berkilau.
Alya tergamam, terkejut dengan aksi Farizal didepannya. Dia memandang sekeliling, Melissa dan Faiq tersenyum memandang penuh harapan agar "Happy Ending". Di belakang mereka pula tiga orang pekerja Abstrak terhendap-hendap dibelakang rak-rak ruangan putih, tidak mahu ketinggalan dengan drama yang dipertontonkan di depan mereka. Manakala di luar, deretan manusia memenuhi pintu kaca galeri itu, tertarik dengan situasi didalam galeri berkenaan.
Alya memandang tepat wajah Farizal, mengesat air matanya, cemas. Apa yang harus aku lakukan? Ya Allah! Berikan aku petunjuk-Mu. Alya bermonolog sendiri didalam dirinya.
Alya menggeleng, tangannya diangkat lalu hinggap di pipi kiri Farizal. Tangan Farizal yang memegang kotak cincin replika trofi itu terjatuh, seperti hatinya yang berderai. Wajahnya tertunduk memandang lantai, ada titisan air mata dilereng matanya. Kenapa Alya! Hatinya berlagu sedih diiringi bunyi dentingan cincin platinum yang jatuh, berputar dan akhirnya terdampar di dada lantai.
"Itu untuk kekecewaan Alya tujuh tahun dahulu. Dan ini... untuk kebahagiaan yang abang janjikan pada masa hadapan..." Jari telunjuk Alya menarik dagu Farizal supaya mata mereka bertentang. Kemudian jari manisnya ditunjuk minta disarung cincin. Dari cebisan sedih diwajahnya, terukir senyuman khas untuk Farizal.
Senyuman manis Farizal mencahayai wajahnya yang sedari tadi kerut sejuta harapan. Jari manis gadis didepannya itu disarung cincin emas putih yang jatuh tadi. Jari itu kemudiannya dicium, seiring kemudian sorak para penonton yang mengelilingi mereka.
Farizal bingkas, pinggang Alya dirangkul berserta titisan air mata kegembiraan. Bak situasi ulang lima bulan perkenalan mereka tujuh tahun dahulu.
"Jangan kecewakan Alya lagi abang Farizal! Tolong jangan kecewakan Alya lagi!" Renungan Alya tepat, mengalir dari mata bundar itu titisan air mata mengiringi mutiara Farizal.
"Tujuh tahun lepas... Abang akan pastikan tidak akan sama dengan tahun-tahun mendatang Alya. Abang berjanji! Terima kasih kerana menjadi trofi paling berharga yang pernah abang menangi. I Love You! I Love You So Much Alya"

4 ulasan:

  1. bestyer dpt bace....
    msti ambik mase lamekan nk type bde nie
    novel ke hasil karya sendiri

    BalasPadam
  2. menitis air mata...

    gud job dear... :p

    BalasPadam